Ramadan: Peluang cari ruang persamaan
ALOR SETAR - Umat Islam khususnya pemimpin politik disarankan menggunakan peluang Ramadan untuk mencari ruang persamaan kalangan mereka.
Setiausaha Biro Hal Ehwal Syariah, Amanah nasional, Ridzwan Abu Bakar berkata, perbezaan fahaman politik tidak wajar dijarakkan lagi dengan isu, sentimen mahupun kenyataan berbaur fitnah.
Menurutnya, Ramadan seharusnya mengajar umat Islam untuk memanfaatkan seluruh sistem yang ada untuk kepentingan bersama.
“Gunakan peluang Ramadan ini mencari titik persamaan antara pimpinan parti politik, bukan lagi bercakaran dengan umpat keji atau fitnah yang tidak berasas,” katanya, kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Pengarah Komunikasi Amanah Kedah itu berkata, ahli mahupun pimpinan parti politik seharusnya mengamalkan ‘politik minda’, bukan politik sentimen semata-mata.
“Seeloknya Ramadan ini menjadi titik permulaan untuk orang politik, khususnya agamawan yang cenderung menggunakan masjid dan surau menyebarkan unsur tidak sihat dalam masyarakat, propaganda politik harus dihentikan dalam masjid,” katanya.
Menurutnya, bermula dengan Ramadan dan bulan-bulan seterusnya, semua premis awam hendaklah dijadikan benar-benar tempat awam dan boleh digunakan oleh semua pihak.
Ridzwan berkata demikian ketika mengulas insiden beberapa pemimpin politik kebelakangan ini yang sering bercakaran dalam pelbagai isu, sehingga mengeluarkan kata-kata kesat dan berbaur fitnah.
Menurutnya, Ramadan adalah bulan yang menggabungkan tiga kemuliaan, iaitu puasa yang membentuk jiwa ‘timbang rasa’ dan ‘kebersamaan’, selain kitab suci al-Quran sebagai panduan hidup serta doa yang menjadi talian terus antara hamba dan pencipta.
“Semoga kita diberikan kekuatan untuk memanfaatkan tiga kemuliaan itu demi manfaat diri dan ummah sejagat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!