Pindah Bazar Raya bersebab
SIMPANG RENGGAM – Pemindahan operasi Bazar Raya dari dari Jalan Besar ke Pusat Perniagaan Wawasan pada tahun ini merupakan waktu yang tepat.
Yang Dipertuanya, Mohammad Sukry Abd Rahim berkata, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) mengambil inisiatif membuat penambahbaikan dengan menetapkan bahawa penganjuran Bazar Raya diadakan di lokasi baharu.
“Keputusan perpindahan lokasi ini dibuat hasil perbincangan yang dipersetujui Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu dan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail dan kami melihat perkara ini sebagai satu keputusan yang positif.
“Kita juga turut mengambil kira banyak faktor bagi memberikan fasiliti yang kondusif bukan hanya kepada peniaga sahaja, tetapi kepada pengunjung yang mengunjungi bazar ini,” katanya sewaktu melakukan lawatan ke Bazar Raya di Pusat Perniagaan Wawasan malam kelmarin.
Menurutnya, antara faktor utama Pusat Perniagaan Wawasan ini dipilih sebagai lokasi baharu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengelakkan kacau ganggu selain menjamin keselamatan peniaga dan pengunjung.
Katanya, hasrat perpindahan lokasi ini telah dibuat sejak 2016 hasil perbincangan dan aku janji peniaga sendiri yang bersetuju untuk berpindah pada masa akan datang selain merasakan tahun 2019 merupakan waktu yang tepat untuk dilaksanakan.
“Kami terpaksa tampil untuk menjelaskan isu berkaitan penganjuran bazar ini disebabkan tular di laman sosial Facebook selain terdapat beberapa individu yang mempunyai kepentingan tertentu cuba menimbulkan kekeruhan dan memberikan pengaruh negatif.
“Jadi, saya ingin memberi peringatan kepada mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kacau ganggu, perpecahan dan melakukan hasutan supaya menghentikan perbuatan tersebut,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga tidak berhasrat memanjangkan isu ini memandangkan keputusan perpindahan telah ditetapkan lebih awal dengan mengambil kira fakta yang bernas dan alasan yang kukuh.
Bagaimanapun, MDSR juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih tegas sekiranya perkara ini masih berterusan bagi menjamin hak dan kepentingannya sebagai sebuah PBT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!