'Ini last race aku'
"SAYA tak sangka, perlumbaan hari ini betul-betul menjadi yang terakhir buat dia."
Demikian kata Nurhan Md Nayan, 22, rakan karib kepada pelumba CP150, Mohd Hafiz Nor Azman yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di Bandar Penawar, Johor, hari ini.
Nurhan berkata, ketika menghadiri satu majlis kenduri, minggu lalu, Mohd Hafiz, 22, yang kini menduduki tangga ketiga keseluruhan CP150 sering menyebut bahawa perlumbaan disertai di Johor ini yang terakhir buatnya.
"Banyak kali dia sebut, ini ‘last race’ aku, setiap kali kami bersembang mengenai perlumbaan motosikal, dia akan tekankan ayat ‘last race’ itu.
"Mulanya saya dan rakan lain anggap perkara biasa, tapi hari ini, baru kami faham, ada maksud yang dia nak sampaikan," katanya.
Nurhan berkata, Mohd Hafiz juga ada mengatakan mahu melakukan yang terbaik pada kejuaraan ini bagi mengumpul mata mengekalkan kedudukan di tempat ketiga.
"Kami tahu dia sudah buat yang terbaik," katanya ketika ditemui di kediaman keluarga Mohd Hafiz di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai di sini, hari ini.
Sementara itu, kakak Mohd Hafiz, Nor Shaziela, 30, terkilan, apabila hasrat anak ketiga daripada empat beradik itu untuk membawa ibu bapa mereka menunaikan umrah, Januari depan tidak kesampaian.
Gambar kenangan... Mohd Hafiz (tengah) bersama ahli keluarga pada Aidilfifri lalu.
“Sebelum perlumbaan lagi arwah beberapa kali cakap mahu nak pergi umrah bersama dan sudah siap buat persiapan.
"Dia cakap lepas habis semua ni, perkara pertama dia nak buat nak pergi umrah, nak bawa mak dan ayah, itu memang hajat dia," katanya.
Menurutnya, Mohd Hafiz yang baru tamat menjalani latihan amali sepatutnya menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) di Politeknik Ungku Omar, Ipoh sesi depan.
Pelumba berusia 22 tahun dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing itu memulakan perlumbaan hari ini di petak pertama.
Bagaimanapun, pada pusingan terakhir perlumbaan, berlaku insiden kemalangan yang meragut nyawa pelumba berkenaan.
Jenazah mangsa yang kini berada di Hospital Kota Tinggi, Johor akan dibawa pulang tengah malam ini untuk urusan pengkebumian, esok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!