Penganggur tikam imam kena penjara 41 bulan

Muhammad Khairil dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman pagi ini.
Muhammad Khairil dibawa keluar dari mahkamah selepas dijatuhkan hukuman pagi ini.
A
A
A

BESUT - Seorang penganggur yang menikam imam yang sedang membaca al Quran kerana bengang selepas mendakwa mengganggu tidurnya dijatuhi hukuman penjara 41 bulan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Muhammad Khairil Nawi, 24, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Amin Md Nor, 37, dengan menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian di dalam Masjid Kampung Apal, di sini, jam 6.30 pagi pada 12 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang mempunyai satu rekod jenayah lampau berdepan hukuman penjara sehingga sepuluh tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa, Inspektor Norkhizan Ramli manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Mohd Fakhrul Fikri Mokhtar.

Menerusi rayuan yang dibacakan peguamnya memohon mahkamah meringankan hukuman ke atas tertuduh kerana tertuduh bertindak demikian disebabkan ada bisikan halus dan berada dalam tekanan.

Sebelum ini, seorang imam ditikam oleh seorang penganggur yang bengang kononnya bunyi pembesar suara bacaan al Quran dari masjid berkenaan mengganggu tidur di rumah abangnya yang terletak tidak jauh dari masjid itu.

Bagaimanapun, mangsa yang membaca al Quran tanpa menggunakan pembesar suara itu menjadi mangsa perbuatan suspek yang bertindak menikam bahagian dadanya.

Artikel Berkaitan:

Akibat tikaman itu, mangsa dikejarkan ke hospital dan menerima tujuh jahitan.

ARTIKEL BERKAITAN:Imam kena tikam ketika baca al-Quran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!