Fieza Rahman tetap gagahkan diri
JOHOR BAHRU - Keceriaan menyertai program Singgah Sahur 2019 anjuran Kelab Media Johor berakhir dengan kesakitan buat penyampai radio Best FM, Fieza Rahman baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Fieza atau nama sebenarnya Rahfizah, 37, cedera apabila kaki kanannya terperosok ke dalam lubang berhampiran parkir.
Fieza berkata, saban tahun beliau bersama rakan dari stesen radio Best FM akan turut serta program Singgah Sahur anjuran Kelab Media Johor sebagai sokongan selaku warga pengamal media.
Menurutnya, bagaimanapun kejadian tersebut menimpanya apabila beliau bergegas untuk ke arah kenderaan selepas selesai membantu pengagihan sajian sahur di destinasi kedua.
"Ketika itu konvoi singgah sahur berada di destinasi kedua iaitu Hospital Pakar KPJ Puteri. Selesai pengagihan dan aktiviti di sana saya bersama rakan lain bergegas ke kenderaan untuk ke destinasi ketiga iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA).
"Secara tiba-tiba kaki kanan saya terperosok ke dalam sebuah lubang. Selain rasa sakit, kaki saya kemudian seakan kebas sekali gus menyukarkan saya untuk berjalan," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Fieza berkata, beliau bagaimanapun meneruskan aktiviti Singgah Sahur dengan melengkapkan penglibatannya ke destinasi lain termasuklah di Pejabat Daerah Pertahanan Awam Johor Bahru.
"Syukur walaupun dalam kesakitkan saya meneruskan juga kehadiran saya di HSA dan destinasi terakhir iaitu pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Bandar Baru Uda.
"Semua ini dengan bantuan rakan-rakan Best FM yang memapah saya di dua lokasi terakhir. Walaupun kaki saya sakit, itu tidak menjadi penghalang untuk saya meneruskan program berkenaan," katanya.
Ditanya perkembangan semasa, penyampai radio segmen Best Hits setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 10 pagi hingga 1 petang akui kakinya itu masih berasa sakit.
"Sepatutnya perlu wad tetapi kerja banyak. Kesian pula rakan lain yang hendak 'cover' saya nanti. Saya akui memang sakit dan susah untuk berjalan seperti biasa.
"Kena berjalan perlahan termasuklah ketika hendak naik tangga. Buat masa ini, saya hanya tekap dan rendam kaki dengan ais untuk mengurang dan menyusutkan bengkak," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!