Pekerja Pos maut angkara babi
JERAM – Seorang pekerja Pos Malaysia maut dalam perjalanan ke tempat kerja selepas terbabas akibat mengelak babi melintas di KM27 Jalan Klang-Teluk Intan, pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 8.43 pagi berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram itu, mangsa dikatakan hilang kawalan selepas melanggar babi yang melintas.
Mangsa, Muhammad Afiq Muslih, 19, yang menunggang motosikal jenis SM Sport terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mangsa yang beralamat di Kampung Baru, Parit 5 Sekinchan itu dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.
“Hasil bedah siasatan mendapati punca kematian adalah kecederaan parah di bahagian kepala akibat kemalangan terbabit,” katanya.
Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dikendalikan Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kuala Selangor, Inspektor Che Mohd Shah Che Hussin.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau terus ke IPD Kuala Selangor untuk membantu siasatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!