Kenapa pentingnya baca doa ketika keluar rumah?
BERAPA ramai di antara kita yang selalu berdoa apabila kita keluar rumah untuk ke tempat kerja atau ke mana-mana sahaja destinasi?
Jawapannya hanya ada pada diri kita sendiri.
Ramai yang menganggap dengan hanya mengucapkan 'Bismillahirrahmanirrahim' sahaja sudah memadai.
Sebenarnya, berdoa apabila kita hendak keluar rumah itu adalah salah satu sunah Rasulullah SAW.
Apabila kita keluar dari rumah, tiada sesiapa yang akan tahu apakah yang akan berlaku di sepanjang perjalanan menuju ke lokasi yang hendak dituju.
Maka, Rasulullah SAW mengajarkan kita satu doa apabila hendak keluar rumah:
"Ya ALLAH, aku berlindung dengan-Mu daripada menyesatkan atau disesatkan, daripada menggelincirkan atau digelincirkan, daripada menganiaya atau dianiayai, daripada memperbodoh atau diperbodohkan (oleh orang lain)" -Ashab al-Sunan
Sekurang-kurangnya apabila kita membaca doa, ALLAH SWT akan memberikan perlindungan daripada sebarang bahaya, halangan dan sebagainya.
Mungkin apabila kita tidak membaca doa, ia menyebabkan ia menjadi halangan apabila kita menuju ke suatu tempat.
Rasulullah SAW bersabda: "Jika seseorang keluar daripada rumahnya lalu membaca (zikir) 'Bismillahi tawakkaltu 'alallahi, walaa haula wala quwata illa billah' yang bermaksud, 'Dengan nama ALLAH, aku berserah diri kepada-Nya dan tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan-Nya," maka, malaikat akan berkata kepadanya...'(Sungguh) kamu telah diberi petunjuk (oleh ALLAH) dicukupkan (dalam segala keperluanmu) dan dijaga (daripada semua keburukan)...sehingga syaitan-syaitan tidak akan menghampiri dan syaitan-syaitan itu berkata kepada syaitan-syaitan lain, 'Bagaimana (mungkin) kamu dapat (mencelakakan) seorang yang telah diberi petunjuk, dicukupkan dan diberi perlindungan oleh ALLAH SWT?'" (Riwayat Abu Dawud, al-Tirmizi dan Ibnu Hibban)
Begitu besarnya kelebihan apabila kita membaca doa sebelum keluar rumah.
ALLAH akan menghantar malaikat untuk memberi perlindungan terhadap rumah tangga dan keluarga kita.
Apabila bermusafir, kita akan sentiasa dijaga oleh malaikat sehingga kembali semula ke rumah.
Marilah sama-sama kita jadikan doa sebagai amalan ketika hendak keluar rumah.
(Sumber: Muhd Nasruddin Dasuki)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!