Peniaga diingat patuhi skim harga barang Aidilfitri

Khalid meninjau harga barang kawalan di Pasar Besar Ipoh.
Khalid meninjau harga barang kawalan di Pasar Besar Ipoh.
A
A
A

IPOH - Golongan peniaga perlu mematuhi harga kawalan 27 jenis barang kawalan sebagaimana yang telah ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena musim perayaan Aidilfitri kali ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak Khalid Tik berkata, sepanjang pelaksanaan skim yang akan dilancarkan serentak di seluruh negara mulai 21 Mei hingga 19 Jun depan, pihak KPDNHEP akan menjalankan pemeriksaan demi memastikan peniaga mematuhi skim harga yang telah ditetapkan.

Malah menurutnya, mana-mana peniaga yang didapati tidak mematuhi peraturan berkenaan boleh tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Apabila kita letakkan harga kawalan tersebut mereka kena patuh dengan arahan kerajaan iaitu selama 30 hari kita akan buat.

“Di situ kita akan letakkan harga barang yang sepatutnya mereka (peniaga) kena ikut. Sekarang ni mereka menjual dengan harga lebih dan ada yang kurang daripada yang kita lancarkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Khalid berkata demikian ketika menjalankan pemeriksaan terhadap harga barang kawalan berkenaan bersama 20 anggota KPDNHEP Perak di Pasar Besar Ipoh.

Difahamkan, SHMMP peringkat negeri Perak akan dilancarkan oleh Pengarah KPDNHEP negeri di Pasar Awam Tanjung Rambutan, 21 Mei ini.

Sementara itu Khalid berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan di Pasar Besar Ipoh, pihaknya mendapati ada beberapa barangan seperti ayam dan cili kering yang dijual melebihi harga yang ditetapkan di bawah SHMMP.

Artikel Berkaitan:

Justeru menurutnya, peniaga diminta menurunkan harga barangan yang telah disenaraikan di bawah skim tersebut sebaik sahaja tempoh penguatkuasaan itu berlangsung.

“Kita juga mahu peniaga meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual. Kalau tak ada tanda harga mereka berdepan risiko untuk dikenakan tindakan undang-undang.

“Hari ini kita beri amaran. Selepas ni tempoh seminggu kita akan ambil tindakan supaya harga yang diletak lebih jelas termasuklah menggunakan alat timbang yang tepat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!