Kompaun hampir RM7,000 dikeluarkan di Terengganu

Mohd (tiga dari kanan), Ahmad Nazwawi (kanan) dan Mohd Anuar (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Gerai Contoh kepada peniaga di Bazar Ramadan Jalan Padang sempena pelancaran Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan.
Mohd (tiga dari kanan), Ahmad Nazwawi (kanan) dan Mohd Anuar (dua dari kanan) menyampaikan Anugerah Gerai Contoh kepada peniaga di Bazar Ramadan Jalan Padang sempena pelancaran Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan.
A
A
A

KEMAMAN - Jabatan Kesihatan Terengganu mengeluarkan kompaun sebanyak RM6,750 dalam tempoh 10 hari pertama bulan Ramadan ini terhadap peniaga bazar Ramadan di negeri yang tidak patuh peraturan kebersihan makanan.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, jumlah kompaun itu melibatkan 64 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Jika dibandingkan sepanjang Ramadan tahun lalu kita mengeluarkan sebanyak 95 notis kepada peniaga bazar melibatkan kompaun yang dibayar berjumlah RM7,468.

"Kita harap tahun ini jumlah kompaun yang dikeluarkan dapat dikurangkan. Diharapkan peniaga mematuhi peraturan kerana ia menggambarkan kebersihan gerai itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan serta Pelancaran Hotline E-Bazar Peringkat Daerah Kemaman di Bazar Ramadan Jalan Padang, Chukai di sini semalam.

Hadir sama, Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Ahmad Nazwawi Harun; Pegawai Kesihatan Kemaman, Dr Mohd Anuar Abd Rahman dan Pegawai Daerah Kemaman, Osman A Bakar.

Menurutnya, kesalahan yang dikesan membabitkan pengendali tidak memakai apron, memakai cincin atau gelang, gagal mendapatkan suntikan pelalian dan tidak menghadiri latihan pengendali makanan.

"Kita juga sudah arahkan semua penguat kuasa melakukan pemeriksaan di semua bazar Ramadan setiap hari bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Dr Mohd berkata, setakat ini jabatannya belum menerima sebarang aduan mengenai kes keracunan makanan terutama melibatkan bazar Ramadan.

"Sekiranya selepas ini ada tanda-tanda keracunan makanan seperti sakit perut, muntah dan cirit-birit, segeralah ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan.

"Bagi memastikan makanan dan minuman yang dijual benar-benar selamat, kita turut adakan persampelan makanan dan setakat ini juga sebanyak 126 sampel diambil bagi analisa mikrobiologi dan masih menunggu keputusan," katanya.

Menurutnya, fokus diberikan terhadap makanan berisiko tinggi untuk tercemar dan antara sampel diambil ialah lauk-pauk, kuih-muih dan minuman.

"Sehingga Selasa lalu sebanyak 2,404 daripada 4,914 gerai di bazar Ramadan seluruh Terengganu dan hasil pemeriksaan didapati sebanyak 2,242 atau 93 peratus gerai diberi penarafan atau dikategorikan sebagai sangat bersih (A) manakala selebihnya mencapai kategori bersih (B).

"Namun masih terdapat sebanyak 2,510 gerai belum diperiksa dan kita jangka ia akan selesai sepenuhnya minggu depan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!