Piya sah tinggalkan Kelantan
BEKAS kapten The Red Warriors (TRW), Mohd Badhri Radzi mengesahkan tidak lagi bersama pasukan itu mengharungi baki saingan Liga Premier musim ini.
Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, dia telah menghantar surat keluar secara rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), pada 14 Mei lalu.
Menurutnya, keputusannya angkat kaki itu dibuat berdasarkan Klausa 8.7 yang terkandung dalam kontrak pemain bola sepak.
"Klausa ini jelas menyatakan kontrak boleh ditamatkan tanpa apa-apa kesan sama ada pembayaran pampasan atau pengenaan sekatan kesukanan jika pemain tidak menerima gaji lebih daripada satu kali.
"Semenjak saya tandatangani kontrak pada 16 Mac lalu, saya belum pernah menerima gaji daripada Kafa.
"Ini bermakna saya tidak menerima gaji untuk dua bulan iaitu Mac dan April," katanya.
Sinar Harian pada 8 April lalu melaporkan, pemain tengah berusia 37 tahun itu pernah menghantar surat keluar daripada Kelantan meskipun tidak sampai sebulan kembali menyertai pasukan negeri kelahirannya.
Menurut Mohd Badhri, kegagalan Kafa melunaskan gajinya sememangnya telah melanggar kontrak berdasarkan Klausa 8.7 itu.
"Saya berharap pihak Kafa tiada halangan untuk menerima penamatan kontrak ini dan membantu mengeluarkan Sijil Perpindahan Pemain (SPN).
"Saya juga berharap Kafa dapat menjelaskan tunggakan gaji saya selama dua bulan dengan kadar segera," ujarnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!