PGA rampas RM700,000 barang seludup
RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa merampas pelbagai barangan seludup berjumlah RM700,000 sejak mengambil alih Op Wawasan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 20 April lalu.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Khaled Che Lah berkata, jumlah itu membabitkan tempoh operasi bermula 20 April hingga semalam.
"Aktiviti penyeludupan yang kita berjaya patahkan ialah dadah, mercun dan bunga api, beras, pelbagai barangan kontraban (tudung, kain batik, pakaian dan lain-lain) serta ayam sejuk beku.
"Selain itu, kita turut rampas lembu, minyak petrol dan diesel sepanjang tempoh tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Serah Terima Tugas Op Wawasan antara Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan Batalion 9 Kuala Terengganu di Markas Taktikal PGA di Lubok Stol, di sini hari ini.
Turut hadir Superintendan Ramly Poncho (Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Kuala Terengganu), Superintenden Muhammad Shamsuddin (Pegawai Pemerintah Batalion 8 Pengkalan Chepa) dan Superintenden Azhari Nusi (Pegawai Pemerintah Batalion 7 Kuantan).
Menurutnya, PGA akan terus mempertingkatkan lagi operasi dalam mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah lintas sempadan.
Katanya, pasukan berkenaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
"Menjelang musim perayaan ini, kita juga akan memperketatkan lagi kawalan di sepanjang kawasan operasi bermula dari Pengkalan Kubor ke Rantau Panjang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!