Cerai Abu Sufyan: Jakess nafi ada penambahan fakta

Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menafikan laporan ada penambahan fakta dalam laporan berita pengesahan cerai pendakwah muda program realiti, Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi dan isterinya, Ain 'Afini Latif.

Sebaliknya, Jabatan itu dalam kenyataannya hari ini berkata, pasangan tersebut telah hadir semula ke Mahkamah Rendah Syariah Klang bagi memfailkan kes baharu berikutan Abu Sufyan,23, terlupa untuk menyatakan kepada mahkamah mengenai kewujudan lafaz pada hujung Mac lalu yang berbunyi: Saya dan dia, isteri saya sudah bercerai.

"Pada sekitar jam 12.30 tengah hari, Mahkamah Rendah Syariah Klang telah dihubungi oleh Ain 'Afini melalui telefon dan memaklumkan hal tersebut," katanya.

Menurutnya, mahkamah telah menasihatkan agar pasangan hadir ke mahkamah dan menfailkan satu kes baharu bagi menentukan status lafaz talak tersebut.

"Memandangkan terdapat persetujuan antara mereka, kes terus didengari di hadapan Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim," katanya.

Berdasarkan kepada fakta, keterangan dan bukti yang dikemukakan, Hakim Syarie telah memutuskan sabitkan lafaz talaq pada hujung Mac 2019 adalah sah dengan talak satu, kali kedua berjumlah dua talak secara talak rajie.

"Ain 'Afini diperintah beriddah sehingga melahirkan kandungan," katanya.

Jakess turut berkata, perbicaraan pada sesi petang bukanlah sambungan daripada perbicaraan kes pagi kerana Hakim Syarie, Mohd Nurulazhar Mohd Tahar telah functus officio (telah selesai tugas kehakimannya).

Artikel Berkaitan:

"Jabatan ini ingin menegaskan bahawa pengendalian semua kes yang didaftarkan di Mahkamah Syariah Selangor sentiasa dilaksanakan selaras dengan segala prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukum syarak," katanya.

Semalam, mahkamah memutuskan talak Abu Sufyan adalah tidak sah selepas menerima sumpah bahawa lelaki itu tidak pernah berniat untuk menceraikan isterinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Talak PU Abu Sufyan tidak sah

Abu Sufyan bernikah dengan Ain 'Afini pada 31 Ogos 2018 dan dijangka menyambut kelahirannya pertama pada 10 Julai depan.

Sebelum ini, Ain 'Afini menerusi laman sosialnya mendedahkan dia telah diceraikan Abu Sufyan selepas lelaki itu memilih untuk bernikah dengan seorang janda bernama Hana Azraa.

Pada 22 April lalu, Abu Sufyan menerusi ruangan komen akaun instagramnya mengakui kesilapannya menceraikan isteri yang sedang hamil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!