Wanita warga emas dicekik penyamun
KUALA TERENGGANU - Seorang wanita warga emas berdepan detik cemas apabila bukan sahaja mulut dan hidungnya ditutup dengan kain, malah lehernya turut dicekik sehingga sesak nafas oleh lelaki yang cuba menyamun rumahnya, dalam kejadian di Kampung Banggol Peradong, Manir, di sini, Selasa lalu.
Menurut sumber, kejadian kira-kira jam 6.05 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 79 tahun yang tinggal seorang di rumah menyedari rumahnya dimasuki seorang lelaki tidak dikenali.
"Terkejut selepas kehadirannya disedari mangsa, suspek terus bertindak agresif dengan mengambil kain mangsa sebelum menutup mulut dan hidung wanita itu.
"Masih tidak berpuas hati, suspek dikatakan bertindak kejam apabila tergamak mencekik leher warga emas itu dengan begitu kuat sehingga sesak nafas.
"Akibat kesakitan dan sukar untuk bernafas, mangsa nekad cuba melawan bagi melepaskan dirinya dengan menarik tangan suspek sekuat hati sehingga lelaki itu melepaskannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata, suspek terus melarikan diri.
Kejadian menimpa mangsa hanya diketahui anak lelakinya kira-kira jam 6.30 pagi yang datang menjenguk wanita itu.
"Ketika sampai di rumah, mangsa dilihat sedang menangis dan berada dalam ketakutan sebelum menceritakan kejadian menimpa kepada anak lelakinya itu.
"Anak lelaki mangsa membuat pemeriksaan di dalam rumah, bagaimanapun mendapati tiada kehilangan barang-barang berharga sebelum membawa mangsa ke Balai Polis Manir untuk membuat laporan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba samun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!