APMM tahan 33 PATI cuba masuk negara guna jalan tak sah
KOTA TINGGI - Seramai 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) selepas cuba memasuki negara ini melalui kawasan yang tidak diwartakan dalam operasi malam semalam.
Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kesemua mereka merupakan warga Indonesia berusia 18 hingga 46 tahun itu ditahan dalam operasi kira-kira jam 8 malam.
Menurutnya, ketika serbuan dilakukan PATI berkenaan sedang diturunkan dari bot berhampiran kawasan pantai berhampiran Hotel Tiara Desaru.
"Berdasarkan pemerhatian ketika kejadian paras air laut agak dalam. Susulan itu anggota Maritim Malaysia bertindak menyelamatkan kesemua suspek yang berada di dalam air memandangkan bot tersebut berpatah balik ke laut setelah menyedari kehadiran APMM.
"Seorang daripada dua suspek dipercayai tekong darat berjaya ditahan ketika cubaan melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran pantai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, ekoran itu sebuah bot ronda Maritim Malaysia telah mengejar bot penyeludup migran yang kelihatan seperti menggunakan tiga ke empat enjin sangkut sehingga meloloskan diri ke sempadan perairan.
Jelasnya, APMM juga bimbang jika masih terdapat migran wanita dan kanak-kanak di dalam bot tersebut yang masih belum diturunkan.
"Kesemua Pati ditahan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
"Siasatan awal juga mendapati kesemua mereka dikendalikan oleh geng Fuad Lombok," katanya lagi.
Zulfadli turut menasihati warga Indonesia yang ingin pulang ke kampung halaman atau datang ke Malaysia agar menggunakan laluan sah.
Katanya, APMM akan meneruskan lagi operasi tersebut bagi membendung aktiviti penyeludupan migran menggunakan laluan laut untuk keluar masuk.
"Cara ini amat merbahaya dan sindiket penyeludupan manusia juga dilihat seperti tidak menghargai nyawa penumpang-penumpang mereka.
"Sebarang aduan jenayah di Zon APMM khususnya di perairan Johor Timur boleh disalurkan ke talian pusat operasi ZMTS 07-8916595 dan talian MERS 999," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!