Polis tingkatkan kawalan keselamatan pada musim perayaan
KUANTAN - Polis Pahang akan meningkatkan kawalan keselamatan khususnya operasi rondaan sebagai langkah pencegahan jenayah, terutama di kawasan kediaman dan premis perniagaan sepanjang Ramadan serta Aidilfitri.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad berkata, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) sudah mempertingkatkan operasi rondaan ke kawasan perumahan dan premis perniagaan sepanjang musim perayaan ini.
Menurutnya, ini juga bagi memastikan aspek keselamatan ketika para peniaga keluar meninggalkan rumah dan premis untuk berniaga berada di tahap optimum.
"Ketika Ramadan dan musim perayaan ini, kita akan meningkatkan rondaan selain menambah bilangan anggota. Kita juga akan menempatkan lebih ramai anggota yang berpakaian biasa di kawasan berisiko berlaku jenayah.
"Justeru orang ramai terutama penduduk, pemilik kediaman dan premis diminta sentiasa berwaspada selain melaporkan kepada polis jika meninggalkan rumah dalam jangka masa panjang supaya kita dapat tingkatkan rondaan di sana," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Bantuan Kepada Balu-balu Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang di Kompleks Logistik PDRM Alor Akar di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua JPJKK Pahang, Datuk Abdul Aziz Salleh.
Sementara itu, meniti kegembiraan menjalani ibadah puasa Ramadan, IPK Pahang tidak melupakan 45 balu kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang meninggal dunia.
Kesemua mereka dari seluruh daerah di Pahang diraikan dengan sumbangan wang tunai RM300 seorang berserta peruntukan sumbangan pasar raya Nirwana berupa barang keperluan dapur.
Turut diberikan perhatian adalah 15 anak-anak OKU PDRM Kontinjen Pahang
Beliau berkata, sumbangan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan serta PDRM terhadap jasa anggotanya yang terkorban semasa bertugas.
"Sumbangan sebegini diberikan kepada balu-balu anggota polis untuk meringankan beban yang ditanggung, serta mengenang bakti mereka terhadap PDRM dan masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!