Minyak pelincir tiruan bernilai RM46,000 dirampas
KULAI - Sebanyak 4,524 botol minyak pelincir satu liter yang disyaki tiruan dan dianggar bernilai RM45,692.20 dirampas dalam satu operasi yang dijalankan di sebuah premis di kawasan perindustrian di Senai, di sini hari ini.
Operasi yang dijalankan kira-kira 11 pagi itu melibatkan 11 anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor Bahru.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri KPDNHEP negeri, Zubir Hamsa berkata, tindakan ini adalah hasil daripada pemantauan dan risikan setelah mendapat aduan daripada wakil pemilik cap dagang bagi jenama barangan tersebut.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut ada menjual barangan yang menggunakan jenama produk atau barangan tersebut.
"Sebanyak 377 kotak yang mengandungi 4,524 botol minyak pelincir satu liter yang disyaki tiruan dirampas.
"Seramai enam pekerja termasuk seorang pengurus syarikat itu telah diambil keterangan untuk membantu siasatan," katanya.
Zubir berkata, kesemua barangan tersebut disita di bawah Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tujuan siasatan lanjut.
"Siasatan lanjut mendapati, barangan tersebut dijual kepada pembekal dengan harga lebih rendah daripada pasaran," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap premis-premis yang disyaki menawarkan atau membekalkan barangan tiruan dalam usaha melindungi hak pengguna dan hak harta intelek milik industri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!