Polis berkas tiga pengganas Daesh

Suspek dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh ditahan dalam serbuan berasingan di Kuala Muda, Kedah dan Banting, Selangor, kelmarin.
Suspek dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh ditahan dalam serbuan berasingan di Kuala Muda, Kedah dan Banting, Selangor, kelmarin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang diburu kerana disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh dan merancang menyerang rumah ibadat bukan Islam dan pusat hiburan diberkas.

Tangkapan dibuat berasingan di Kedah dan Selangor kelmarin oleh sepasukan polis Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, tangkapan pertama di Kuala Muda, Kedah melibatkan dua warga tempatan iaitu Muhamad Syazani Mahzan, 27 dan Nuurul Amin Azizan, 27, selepas tampil menyerah diri hasil kerjasama pihak keluarga masing-masing.

Menurutnya, Muhammad Syazani dan Muhamad Nuurul yang berasal dari Bedong, Kedah masing-masing bekerja sebagai penjual burger dan pekebun.

"Siasatan mendapati kedua-dua suspek ini pernah bersama-sama seorang rakyat tempatan, Muhammad Izham Razani yang ditangkap pada 22 November tahun lalu di Sungai Petani, Kedah, pernah menjalani latihan membuat bom di Jogjakarta, Indonesia tahun lalu yang dikendalikan oleh kumpulan pengganas Jemaah Ansharut Daulah Indonesia.

"Semasa di sana, mereka telah mempelajari kaedah untuk menghasilkan sejenis bahan kimia Triacetone Teiperoxide (TATP), yang digunakan untuk menghasilkan letupan berskala besar dan bom kenderaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Suspek dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh ditahan, kelmarin.
Suspek dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas Daesh ditahan, kelmarin.

Beliau berkata, kedua-dua suspek ini juga dikesan melakukan tinjauan ke atas beberapa gereja di sekitar Jogjakarta, Indonesia untuk melancarkan serangan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain itu, salah seorang suspek iaitu Muhammad Syazani juga disyaki merancang untuk melancarkan serangan ke atas rumah ibadah bukan Islam di Malaysia dengan menggunakan kaedah serangan bom bunuh diri.

Dalam pada itu, tangkapan seterusnya seorang lelaki warga Indonesia Nuruddin Alele @ Fatir Tir berusia 34 tahun di Banting, Selangor.

"Suspek merupakan anggota sel 'Wolf Pack' Daesh serta turut terlibat dalam rancangan melakukan operasi pembunuhan serta serangan ke atas tempat ibadat bukan Islam serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

"Suspek terdedah dengan ideologi kumpulan Daesh semasa menjalani hukuman penjara selama lima tahun di Surabaya, Indonesia sebelum ini," katanya.

Tambahnya, tangkapan ketiga-tiga suspek ini merupakan operasi susulan selepas tertangkapnya empat suspek kumpulan pengganas Daesh di Terengganu dan Lembah Klang pada 5 dan 7 Mei lalu.

Abdul Hamid berkata, kesemua suspek disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!