Ajal jatuh pokok petai
BESUT - Seorang lelaki ditemui mati terjatuh dari pokok petai di Kampung Derdap, dekat Keruak, Hulu Besut, di sini kira-kira 1 petang, semalam.
Mayat mangsa Mohamad Hassan, 31, ditemui oleh orang awam yang kebetulan melalui tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mangsa dipercayai terjatuh ketika memanjat pokok petai milik saudaranya itu seorang diri.
Menurutnya, mangsa yang tinggal di Kampung Belaoh, Keruak, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian kira -kira 40 meter.
"Orang ramai yang menemui mangsa telah menghubungi bapa mangsa pada jam 1.20 petang dan kemudiannya bapa mangsa melaporkan kepada polis," katanya.
Mohd Zamri berkata lagi, sampai di tempat kejadian, polis mendapati mangsa berada atas tanah dalam keadaan mengiring manakala lokasi kejadian terletak 200 meter dari jalan utama.
Menurutnya, polis turut menemui beberapa keping buah petai bertaburan atas tanah berhampiran tempat mangsa ditemui.
"Mangsa dikatakan pergi memanjat pokok petai itu selepas diminta oleh saudaranya sebelum kejadian," katanya.
Tambahnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!