Safura berehat daripada berniaga di bazar Ramadan

Safura Yaacob
Safura Yaacob
A
A
A

PENYANYI dan pelakon Safura Yaacob mengakui rutin Ramadan pada tahun ini sedikit berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Akui Safura, menjadi kelaziman buatnya dan anak-anak untuk berniaga di bazar Ramadan setiap tahun. Namun pada tahun ini dia mengambil keputusan untuk berehat seketika atas faktor kesihatannnya.

“Sebelum ini saya memang jarang mengambil tawaran berlakon pada bulan puasa kerana mahu memberi fokus kepada anak-anak, selain sibuk berniaga di bazaar Ramadan.

“Namun pada tahun ini, saya rehat seketika daripada berniaga kerana rasa tak larat dan keadaan kesihatan yang tak begitu mengizinkan.

“Sana sini pergi, ramai yang tanya kenapa tak berniaga tahun ni sebab diorang rindu nasi arab saya. Tengoklah nanti, kalau kesihatan dah OK, bolehlah kembali berniaga tahun depan. Anak perempuan saya pun cakap bosan bila saya tak berniaga,” kata Safura.

Disebabkan tidak mengambil tawaran berlakon pada bulan Ramadan, Safura, 46, mengisi masa luangnya dengan menyertai program Tadarus al-Quran bersama rakan-rakan yang dianjurkan oleh Puan Sri Maznah Rais.

No Image Caption

“Sebenarnya setiap tahun ada program sebegini, namun disebabkan saya sibuk dengan kerja dan berniaga di bazar, memang jaranglah ada kesempatan untuk ikut serta.

Artikel Berkaitan:

“Jadi bila tak berniaga tahun ni, dapatlah saya buat tadarus ini bersama mereka pada setiap pagi sepanjang bulan Ramadan.

“Memang seronok sangat dapat meraikan Ramadan dengan aktiviti-aktiviti seperti ini. Alhamdulillah rezeki saya untuk tahun ni,” katanya ibu kepada enam anak ini lagi.

Menurut Safura yang ditemui di majlis berbuka puasa Pak John Steamboat, Damansara bersama anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan dan Penjagaan Nur Hidayah, Keramat pada Isnin, Ramadan kali ini sebolehnya mahu diisi dengan aktiviti-aktiviti berbentuk ibadah.

"Selama 11 bulan kita dah tumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain, jadi apa salahnya sepanjang Ramadan ini kita lipat gandakan ibadah.

“Alhamdulillah hari ini saya sempat berbuka dengan anak-anak kurang bernasib baik ini dan sebenarnya adalah acara yang jadi kemestian buat saya setiap kali bulan puasa.

“Selalunya saya akan bawa anak-anak sekali mahu mereka tengok budak-budak lain yang tidak bernasib baik, berbuka puasa tanpa ibu dan ayah. Saya nak mereka belajar dan sentiasa rasa bersyukur dengan apa yang mereka ada,” katanya kepada Sinar Harian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!