Program 'My Love - Dirimu Kasih' rai 40 Warga Emas
IPOH - Seramai 40 warga emas dari Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta diraikan sempena Program 'My Love - Dirimu Kasih' di Perpustakaan Tun Razak, hari ini.
Pengarah Kanan Pentadbiran dan Kewangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Saidatul Akma Jamaluddin berkata, program yang julung kali dianjurkan itu secara keseluruhannya diharap mampu memberikan keceriaan kepada penghuni rumah berkenaan khususnya menjelang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Justeru menurutnya, program anjuran perpustakaan berkenaan dengan kerjasama Perak Professional Entrepreneur Club (Perpec) diharap mampu mengeratkan lagi silaturahim.
Program yang dianjurkan ini adalah satu bentuk program kebajikan khususnya kepada masyarakat.
“Oleh itu, program seperti ini diharapkan dapat merapatkan lagi hubungan antara pihak perpustakaan dengan warga emas dan juga warga MBI," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Hadir sama, Presiden PERPEC, Nassir Ismail.
Sementara itu, Saidatul Akma berharap agar program berkenaan dapat diteruskan dengan lebih ramai peserta pada masa hadapan.
“Kita juga sentiasa mengalu-alukan agensi luar termasuk NGO untuk bekerjasama dengan PTR bagi menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!