JTK Perlis mahu majikan patuh bayaran gaji minimum
KANGAR - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perlis akan terus melaksanakan ‘Ops Patuh’ untuk memastikan majikan mematuhi undang-undang perburuhan khususnya berkaitan pembayaran gaji minimum pekerja.
Pengarahnya Iskandar Jassa berkata, operasi itu yang dijalankan ke atas 20 premis perniagaan dalam sektor perkilangan dan peruncitan hari ini bertujuan mengesan majikan yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang semakin hampir.
“Dalam pemeriksaan itu, empat majikan dikesan melakukan kesalahan iaitu tidak menyediakan salinan terma dan syarat perkhidmatan kepada pekerja secara bertulis, tidak menyediakan penyata gaji secara bertulis dan gagal membuat bayaran kerja lebih masa.
"Pemeriksaan juga mendapati ada majikan yang menggaji pekerja asing gagal membuat pembayaran gaji melalui bank dan tidak menyediakan kemudahan perumahan yang sesuai kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Iskandar berkata kesalahan lain yang dikesan ialah majikan menyimpan pasport pekerja asing dan gagal memaklumkan penggajian mereka kepada JTK dalam tempoh 14 hari dari tarikh mula digaji yang salah mengikut Peraturan 8 dan 9 Peraturan-Peraturan Kerja 1957, Seksyen 25A, Seksyen 60K dan Seksyen 63 Akta Kerja 1955.
Menurut Iskandar kesalahan di bawah akta itu ialah didenda tidak lebih RM10,000 bagi setiap kesalahan.
JTK akan membuka kertas siasatan terhadap majikan yang didapati melakukan kesalahan supaya Timbalan Pendakwaraya dapat mengambil tindakan lanjut, kata Iskandar.
“Ops Patuh juga bertujuan memberi pengenalan undang-undang baharu seperti Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda (Pekerjaan) 1966 (Pindaan 2018) kepada majikan,” katanya dan menambah operasi itu yang bermula pukul 9.00 pagi hingga 3.00 petang dijalankan di Kangar, Kuala Perlis dan Bukit Keteri, diketuai beliau sendiri.
Iskandar berharap majikan memandang serius perkara-perkara berkaitan terutama kebajikan pekerja mereka.
Katanya majikan yang mempunyai masalah berkaitan pekerja mereka boleh menghubungi JTK untuk mendapatkan khidmat nasihat sementara para pekerja yang menghadapi masalah hendaklah membuat aduan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mengatasinya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!