Nahas Cub Prix: Perhalusi perkara meragukan

Wazi
Wazi
A
A
A

SEBARANG perkara meragukan yang berlaku di litar perlumbaan motosikal perlu diperhalusi bagi mengelak insiden sama berulang.

Lagenda lumba motosikal negara, Wazi Abdul Hamid berkata, langkah itu boleh dilakukan dengan melibatkan mereka yang pakar dalam menangani isu kemalangan.

Menurutnya, dalam insiden semalam yang mengorbankan seorang pelumba CP150, Mohd Hafiz Nor Azman, satu jawatankuasa perlu dibentuk agar penyelesaian menyeluruh dibuat diperingkat penganjur, pelesen dan pihak berkuasa.

"Berdasarkan pengalaman saya, insiden seperti ini boleh diberi satu kajian menyeluruh libatkan semua pihak bukan sahaja penganjur, tetapi pelumba.

"Jika nak kata ada kecuaian, its not fair, tetapi kena ada usaha tertentu dari semua pihak melihat lebih jelas bagaimana nak elakkan nahas sama berlaku pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menziarah jenazah Mohd Hafiz di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai, hari ini.

Jenazah Allahyarham tiba dari Hospital Kota Tinggi, Johor sekitar jam 5.30 pagi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang Permai, hari ini.

Pelumba berusia 22 tahun dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Bandar Penawar, Johor.

Mengulas lanjut, Wazi, 47, berkata, insiden yang melibatkan kematian pelumba sewaktu kejuaraan berlangsung sudah berlaku dua tahun berturut-turut.

Artikel Berkaitan:

"Kali pertama tahun lepas di Terengganu dan kali ini di Johor, di situ ada beberapa perkara meragukan yang perlu diberi perhatian," katanya.

Beliau turut menyifatkan pemergian Mohd Hafiz sebagai satu kehilangan besar bintang muda dalam sukan permotoran.

Katanya, Allahyarham layak diangkat sebagai ikon atas bakatnya yang menyerlah tanpa mengenepikan pendidikan.

"Saya mengenali sejak kecil, apa berlaku hari ini, kita bukan sahaja kehilangan seorang bintang tetapi seorang juara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!