Kelibat lelaki ini timbulkan tanda tanya
DULU dikenali sebuah pekan kecil melombong bijih timah, kini bandar Taiping dianugerahkan bandar ketiga terbaik dunia 2018.
Di sebalik keindahan bandar yang mempersona, kelibat seorang lelaki sedang menyapu dedaun kering di sekitar Taiping, menjadi perhatian umum.
Setiap hari, lelaki misteri itu sering dilihat oleh penduduk melakukan kerja-kerja pembersihan persekitaran bandar tersebut walaupun dia bukan kakitangan Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Memetik Facebook MPT, lelaki itu bernama Husin Kasim yang bermurah hati untuk berbakti kepada bandar itu.
Meskipun pada awalnya menolak pelawaan untuk ditemu ramah tetapi sebaik kakitangan MPT memberitahu, kisahnya akan dikongsi di Facebook MPT sebagai inspirasi dan teladan kepada masyarakat, dia senyum tanda setuju.
Anak kelahiran Johor itu berhijrah ke Taiping bersama ibunya yang dikatakan sedang uzur.
Apa yang menarik tentang Husin ini, dia tiada pekerjaan tetap dan menyara kehidupan dengan menjual sayur-sayuran dan ulam-ulaman serta buah kelapa yang dikutip dari kawasan-kawasan sekitar Taiping.
Tidak pernah kenal erti penat, Husin selalu juga dilihat menyapu dan membersihkan kawasan pejalan kaki antara Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) dan Galeri Perbandaran Taiping, iaitu di Jalan Ong Saik.
Jalan itu kurang terurus kerana daun- daun pokok yang gugur menutupi lubang laluan air hujan ke longkang tetapi kini jalan itu dilihat lebih bersih.
Ketika ditanya, kenapa dia melakukan kerja-kerja tambahan itu sedangkan dia boleh terus mencari rezeki bila ada masa terluang?
Bagi Husin, dia suka melihat Taiping bersih dan terpanggil untuk berbakti dengan cara tersendiri.
Jika waktu pagi dia sibuk dengan kerja hakikinya, Husin akan mengambil kesempatan pada waktu malam untuk bersihkan kawasan tersebut.
Dia tidak mengharapkan upah atas kerja-kerjanya itu, namun jika ada individu yang bermurah hati untuk menderma, Husin akan terima dengan ikhlas.
Ketika ditanya impiannya, dia hanya menjawab ingin memiliki sebuah motosikal untuk memudahkan dia melakukan kerja dan membantu masyarakatnya.
"Dengan motorsikal, pergerakan saya akan lebih pantas, dan jimat masa," ujarnya sambil berdiri di sebelah basikal tuanya.
Untuk rekod, bandar Taiping dinobatkan sebagai bandar ketiga terbaik dunia bagi kategori Anugerah 100 Destinasi Lestari Terbaik Dunia pada Anugerah Peringkat Antarabangsa Bagi Pelancongan Lestari Dunia 2018 yang berlangsung di Berlin, Jerman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!