Islam bukan pengganas

No Image Caption
A
A
A

ISLAMOFOBIA. Satu perkataan, beratus maksud, beribu cerita, tak terkira peritnya!

Islamofobia adalah gabungan perkataan iaitu Islam dan fobia.

Maksud fobia dalam Kamus Dewan Edisi Keempat adalah berkaitan ketakutan yang amat sangat akan sesuatu.

Definisi rasminya mungkin masih tiada namun dalam bahasa mudah, Islamofobia boleh ditafsirkan sebagai ketakutan amat sangat terhadap Islam, baik agamanya mahupun umatnya.

Istilah berkenaan bukanlah baru. Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan menjelaskan, Islamofobia sudah wujud sejak akhir tahun 1980-an dan awal tahun 1990-an.

Begitupun, beliau yang memegang jawatan itu dari 1997 hingga 2006 mengakui istilah tersebut semakin popular selepas tragedi 11 September 2001.

Imbas kembali, tidak mungkin dunia melupakan tragedi berdarah itu. Hampir 3,000 maut selepas bangunan World Trade Center (WTC) di New York, Amerika Syarikat runtuh dihentam kapal terbang.

Ramai menganggap insiden itu satu konspirasi, direncanakan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Artikel Berkaitan:

Tujuannya mahu memburukkan imej Islam di mata dunia.

Pendedahan demi pendedahan, bukti demi bukti dikeluarkan namun runtuhnya WTC tetap dikaitkan dengan Islam.

Maka, selepas detik itu bercambahlah gerakan Islamofobia di seluruh dunia.

‘Dalang’ tragedi itu sudah ditangkap, kononnya mayatnya sudah dicampak ke dalam laut.

Adakah telah ditutup cerita? Belum!

Dek kerana hebatnya propaganda Barat, ketakutan kepada Islam terus merebak umpama virus dari satu negara ke negara lain, tahun demi tahun.

Antidotnya semakin kelam, semakin sukar dijumpai.

Pembunuhan lebih 50 orang Islam pada Jumaat, 15 Mac lepas di Christchurch, New Zealand mengesahkan Islamofobia kini berada di tahap membimbangkan.

Terbaru, berlaku satu lagi kes tembakan ketika umat Islam sedang bertarawih di London.

Kedua-dua kes itu bukanlah cerita baru jika berbicara soal fobia kepada Islam.

Ingatkah lagi anda dengan politikus Belanda, Geert Wilders yang menyiarkan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW?

Bagaimana pula dengan siri penghinaan Islam oleh majalah satira Charlie Hebdo di Perancis? Itu di luar negara.

Di Malaysia, ada kes baru-baru ini melibatkan seorang warga emas melakukan perkara sama iaitu menghina Rasulullah SAW dan isteri.

Menggunakan laman Facebook sebagai medium, Foo Sing Wai memuat naik gambar kartun seorang lelaki bersama kanak-kanak yang telah diubah tertera nama Muhammad dan Saidatina Aisyah dalam keadaan mengaibkan.

Umat Islam di Malaysia bingkas bangun membuat laporan polis mendesak tindakan terhadapnya.

Warga emas itu akan dibicarakan pada 17 dan 18 Jun nanti.

Pastinya, ramai menanti apakah pengakhiran kepada kes mahkamah itu. Menelusuri satu-persatu kes tersebut dan banyak lagi kes lain, tidak keterlaluan andai penulis simpulkan Islamofobia sudah tiba di Malaysia.

Maka, tidak hairanlah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad percaya adalah menjadi tanggungjawab kepada pemimpin dan negara Islam untuk mencari kaedah bersesuaian bagi memerangi Islamofobia.

“Pendekatan memerangi Islamofobia bukannya bermaksud membunuh sesama sendiri sebaliknya ada cara lain yang boleh diambil kira supaya ketakutan, kemarahan dan kebencian terhadap Muslim dapat dikurangkan,” katanya.

Presiden Pakistan, Imran Khan pula berpendapat: “Agak menyedihkan apabila jenayah yang dilakukan seorang Muslim dikaitkan dengan 1.3 bilion Muslim lain di dunia malah seringkali pergeseran politik diubah sehingga menampakkan faktor agama menjadi penyebab di sebaliknya.”

Hakikatnya, selagi umat Islam digelar pengganas, selagi itulah Islamofobia terus wujud.

Bukan mudah mengikis serpihan dalam minda golongan Barat yang dipenuhi karat-karat bencikan Islam.

Amat sukar menundukkan propaganda mereka yang acap kali melabel Islam sebagai pengganas meskipun berjuta kali diterangkan Islam juga membenci keganasan.

Ah, tidak mereka peduli.

Bila mana terkena pada ‘muka’ mereka, mereka menjawab: “Oh, keganasan ini dilakukan individu yang mempunyai masalah mental, tiada kaitan dengan agama.”

Dangkal, namun itulah skripnya, diulang-ulang mempertahankan kepalsuan yang sudah lama terlondeh.

Biar apa pun label dihenyak kepada umat Islam, moleklah kita jangan didengarkan siulan ular kerana jika kepalanya ular, tidak akan ekornya belut!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!