'Kemakmuran Bersama' pacu ekonomi negara
KUALA LUMPUR - `Kemakmuran Bersama' yang dilaungkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu ulang tahun pertama Pakatan Harapan (PH) memerintah baru-baru ini, adalah satu pendekatan terkini, dalam usaha meluas dan memanfaatkan ekonomi negara untuk dirasai segenap lapisan masyarakat tanpa membezakan antara satu sama lain.
Ahli-ahli akademik dan pemerhati politik tempatan percaya, langkah ini dilihat jujur dan ikhlas dan cuba diterapkan kerajaan, dalam usaha memastikan rakyat dapat menikmati kemakmuran bersama dan pada masa yang sama, menyelesaikan kemelut ekonomi yang dialami sekarang.
Geostrategis dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan berkata, pendekatan ini merupakan petanda jelas dari kerajaan, bahawa pentadbiran baharu sedang berusaha gigih dalam memajukan dan meningkatkan ekonomi negara.
“Maksudnya seperti yang disampaikan Perdana Menteri, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik juga dialu-alukan tetapi apa yang lebih penting adalah bagaimana kerajaan hendak menurunkan manfaat ekonomi yang baik ini untuk kebaikan rakyat.
“Maka, di sinilah tujuh inisiatif yang diumumkan pada ucapan yang sama, memainkan peranan. Kemakmuran Bersama adalah bagaimana manfaat ekonomi dapat dirasai semua peringkat masyarakat,” katanya kepada Bernama.
Pada 9 Mei lepas, sempena perutusan satu tahun kerajaan PH, Dr Mahathir Mohamad berkata, pendekatan dikenali Kemakmuran Bersama itu merupakan usaha bagi memastikan Malaysia terus berada di landasan tepat untuk membangun secara mampan, seiring pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi bagi mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030.
Kata Perdana Menteri, pendekatan bahawa pembangunan negara pada hari ini bermaksud, memberi Kemakmuran Bersama ataupun `Shared Prosperity' kepada semua rakyat, dengan meningkatkan kuasa beli rakyat dan menghapuskan jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum, wilayah dan rantaian bekalan yang melampau (extreme disparity in supply chain).
Bagi mencapai matlamat ini, katanya, kerajaan menggariskan sekurang-kurangnya tujuh teras strategik, yang perlu ada antaranya penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan, menjana sektor pertumbuhan baharu, reformasi bakat dan sumber tenaga negara dan memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.
Selain dari tujuh teras strategik tersebut, kata Dr Mahathir berkata, kerajaan juga telah mengenal pasti pemangkin lain seperti dasar fiskal yang progresif, aras tanda urus tadbir dan integriti tinggi, penghasilan pendidikan dan TVET bernilai tinggi dan modal sokongan kewangan kompetitif.
Tegas Azmi, jika diteliti ucapan setahun kerajaan PH itu, kandungan ucapan tidak menjerumus kepada hal politik semata-mata, tetapi lebih tertumpu kepada apa yang patut dilakukan bukan sahaja kerajaan tetapi juga rakyat.
“Bagi pihak kerajaan, tujuh inisiatif yang dibentangkan ketika ucapan adalah manifestasi kepada konsep Kemakmuran Bersama yang bakal dikecapi rakyat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Dr Syed Agil Alsagoff berkata, beliau percaya antara pendekatan yang disemarakkan dalam konteks ini ialah meningkatkan perdagangan domestik dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu memulihkan keadaan ekonomi negara.
Menurutnya, pendekatan itu juga dapat membantu meningkatkan taraf hidup rakyat menerusi pemberian insentif dan subsidi kepada golongan berpendapatan rendah (B40), supaya golongan ini terus dapat menikmati kehidupan yang adil dan saksama dalam arus persekitaran ekonomi global yang makin mencabar.
"Konsep ini boleh dimanfaatkan sekiranya rakyat Malaysia bersatu hati memelihara perpaduan, patriotisme untuk membina aspirasi negara maju tanpa mengetepikan kehidupan masyarakat yang kurang bernasib baik.
“Rakyat Malaysia harus mengamalkan toleransi dan memastikan kerukunan perpaduan kaum dipelihara selain bekerjasama meningkatkan prestasi ekonomi negara dan memberikan tumpuan terhadap industri tempatan,” katanya.
Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan dan Pengamal Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berkata, aspek paling penting yang perlu dilaksanakan adalah mengurangkan jurang kemiskinan dan pendapatan jika kerajaan serius dalam pelaksanaan Kemakmuran Bersama ini.
Tegasnya, ini kerana isu kos sara hidup, kuasa membeli, dan jumlah pendapatan antara yang berkait rapat dalam hal ekonomi rakyat yang memerlukan jalan penyelesaian baik dalam tempoh jangka pendek dan panjang.
“Kerajaan kena pastikan jurang kemiskinan dan jumlah pendapatan ketika ini dapat dikurangkan agar Malaysia dapat berdiri lebih maju seperti negara Asia dan Asean lain. Ini perkara pokok kerana isu kos sara hidup membelenggu rakyat sejak sekian lama.
“Contohnya, harga barangan yang tidak dikawal, akan memberi kesan kepada rakyat dan kuasa membeli. Jika penguatkuasaan lemah, ia akan memberi impak kepada rakyat khasnya golongan berpendapatan rendah (B40).
"Isu orang tengah juga jangan diabaikan kerana campur tangan mereka mengubah hasil pertanian dan laut yang menjadi asas keperluan rakyat. Ia harus sentiasa dipantau dan bukannya sewaktu musim perayaan sahaja,” tambahnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!