Jangan buruk sangka individu tidak bertarawih di masjid
ANTARA hikmah terbesar diturunkan solat tarawih pada bulan mulia ini adalah untuk memberitahu tentang keistimewaan Ramadan, kata pendakwah Ustaz Fauzi Mustafa.
Beliau berkata, tarawih merupakan satu-satunya solat sunat yang datang setahun sekali pada bulan Ramadan.
"Bukan itu sahaja, ALLAH SWT juga mahu memberikan keampunan kepada seluruh hamba-hamba-Nya yang beriman (dalam bulan Ramadan).
"Sesiapa yang mengerjakan tarawih, maka diampunkan dosa-dosanya bukan sekadar pada malam itu tetapi juga dosa-dosa terdahulu pun akan diampunkan," katanya kepada Sinar Islam.
Ujar beliau, dengan mengerjakan solat tarawih, ia sebenarnya menggalakkan umat Islam supaya bersatu padu pada malam bulan Ramadan.
"Ramai yang akan ke masjid atau surau. Pelbagai orang yang datang sama ada orang kaya, miskin dan ada juga yang sakit turut datang bertarawih. Pada masa itulah kita akan kenal sesama kita. Kita tahu ada orang susah, sakit dan sebagainya.
"Kita juga digalakkan untuk melakukan sedekah kerana disebutkan oleh Nabi Muhammad SAW bahawa sedekah pada bulan Ramadan merupakan sebaik-baik sedekah," jelasnya.
Dalam pada itu, Ustaz Fauzi berpesan agar umat Islam tidak berburuk sangka dengan orang yang tidak melakukan solat tarawih di masjid kerana ia perbuatan dosa yang disebut di dalam al-Quran.
"Barangkali ada orang solat di rumah atau solat di masjid lain. Ingatlah bahawa solat tarawih tidak wajib secara berjemaah, buat secara sendirian pun boleh, buat dengan keluarga juga boleh dan tak semestinya ditunaikan di masjid. Malah, tunaikanlah di pejabat, kilang atau pasar raya sekalipun," katanya.
Sementara itu, seorang lagi tokoh agama, Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Dai Fuad mengingatkan agar kita menjaga rukun dan syarat sah solat ketika mengerjakan solat tarawih.
"Pastikan bacaan Surah al-Fatihah betul sebutannya dan lancar. Lagi satu, kena pastikan ada tamakninah," jelasnya yang turut menegur masjid di Bandung, Indonesia yang melakukan solat tarawih 23 rakaat dalam masa tujuh minit.
Hakikatnya, kata Dai Fuad, solat sebegitu pantas bukanlah menarik orang muda tetapi ia seolah-olah mempermainkan agama.
"Saya dapati video tular yang memaparkan imam membaca surah al-Fatihah adalah tidak jelas. Bahaya kalau anak muda pandang begitu dan mereka akan fikir, tiada masalah sekiranya mereka membaca dalam nada begitu ketika solat.
"Boleh buat daya penarik untuk anak muda solat tarawih tetapi jangan sampai ia melanggar syariat yang telah ditetapkan," ujarnya.
Dai Fuad turut mencadangkan cara anak muda untuk bertarawih secara berjemaah di masjid atau surau antaranya dengan mengetengahkan golongan itu ke hadapan jika mereka mampu untuk menjadi imam.
"Selain itu, boleh juga wujudkan liga imam di mana kita mempelbagaikan imam yang boleh membaca seperti mana amalan orang Syria dan Mesir. Walaupun imam itu berbangsa Melayu, ia akan membuatkan golongan belia teruja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!