MB Johor mahu bonus Aidilfitri dimanfaatkan sebaiknya
PAGOH - Bonus sempena Aidilfitri yang diumumkan Kerajaan Johor diharap dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh kakitangan kerajaan negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pemberian bonus itu sebagai menghargai jasa dan sumbangan dicurahkan golongan berkenaan yang berkhidmat bersama pihaknya.
“Semua dah maklum bonus oleh kerajaan negeri minimum bernilai RM1,000 atau setengah bulan gaji.
“Pertama sekali, terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan negeri. Saya harap bonus yang diberikan ini dimanfaatkan dengan sebaiknya sebagai persediaan untuk Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Serta Penyampaian Sumbangan DUN Bukit Pasir dan Bukit Kepong di Masjid Jamek Panchor, di sini, kelmarin.
Terdahulu, Dr Sahruddin yang juga ADUN Bukit Kepong turut menyerahkan sumbangan kepada tiga kategori iaitu masjid dan surau, keluarga asnaf serta anak yatim.
Bantuan bernilai RM100 setiap seorang diberikan kepada 100 anak yatim dan 100 asnaf selain barangan keperluan dapur buat keluarga berkenaan.
Selain itu, beliau turut menyumbang RM500 kepada 43 nuah masjid dan RM300 untuk 74 buah surau dalam Parlimen Pagoh bagi merancakkan pelbagai aktiviti sepanjang Aidilfitri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!