Tahun kedua Che Atikah berpuasa tanpa ibu, bapa
KUALA TERENGGANU – Tahun ini adalah kali kedua bagi seorang anak tunggal yang menghuni Asrama Kebajikan Anak-Anak Yatim/Fakir Miskin Darul Akhyar, Batu Rakit menyambut Ramadan dan Syawal tanpa kedua ibu bapa.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Rakit, Che Atikah Che Awang Senaminalah, 17, berkata, ia adalah pengalaman pahit yang terpaksa dilalui dengan penuh sabar dan ikhlas.
Remaja yang berasal dari Manir itu kehilangan bapanya, Che Awang Senaminalah Mohd, 46, akibat kanser tulang pada 28 Jun 2016 manakala ibunya pula menyusul meninggalkannya pada 2 April 2018, akibat kanser darah.
“Sebagai anak tunggal memang rasa rindu kepada mereka berdua sangat menebal terutama bila masuk bulan Ramadan dan Syawal.
“Bila takbir raya berkumandang, saya tak mampu tahan air mata. Nasib baik ada ramai di sekeliling yang sentiasa beri saya semangat untuk terus kuat,” katanya ketika ditemui sempena program pembelian pakaian raya penghuni di Mydin Mall, hari ini.
Ditanya antara masakan ibu yang tidak boleh dilupakan, katanya, dia begitu merindui mi rebus dan asam pedas tempoyak air tangan ibunya, Zainun Hamid yang pergi meninggalkannya pada usia 48 tahun.
“Saya masih ingat, lepas ayah pergi pada 2016, ibu ada nasihatkan saya supaya terus kuat.
“Lepas ibu pergi tahun lepas, apa yang dinasihatkannya itu terpahat kukuh dalam ingatan. Mungkin ada kebahagiaan ‘luar biasa’ yang ditakdirkan ALLAH SWT untuk saya,” katanya.
Pada program itu, seramai 141 pelajar terdiri daripada 68 lelaki dan 73 perempuan berkunjung ke Mydin Mall, di sini untuk membeli kelengkapan bagi menyambut Aidilfitri tahun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!