Parti Negara ditubuh untuk perangi rasuah
PUTRAJAYA - Pengerusi Hisbah Centre for Reform, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengumumkan penubuhan Parti Negara yang bertujuan untuk memerangi rasuah.
Mohamad Ezam berkata, cogan kata parti itu adalah Perjuangan Negara Anti Rasuah dan objektifnya adalah untuk menjadikan rasuah sebagai musuh utama negara.
“Parti Negara atau singkatannya Negara, berdiri pada satu matlamat iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara anti rasuah yang bersih dari gejala rasuah dalam segenap lapisan masyarakat.
“Parti ini adalah sebuah parti berbilang kaum di mana ahli parti ini nanti terbuka kepada setiap warganegara yang berumur 18 tahun ke atas,” kata Ezam pada sidang media selepas menghantar permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) di sini hari ini.
Ditanya sama ada permohonan menubuhkan Negara diterima atau tidak, Mohamad Ezam berkata, RoS memaklumkan permohonan itu mungkin mengambil masa untuk diproses.
“Kami dilayan dengan adil dan baik oleh RoS, dan mereka memberitahu permohonan kami mungkin akan mengambil sedikit masa kerana penubuhan kami adalah berdasarkan satu objektif sahaja.
“Jadi saya percaya RoS perlu merujuk dahulu (perkara ini) dengan beberapa pihak lain. Kami sanggup menunggu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!