Loji Rawatan Air Langat 2 kini siap, dalam proses percubaan
SHAH ALAM - Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 yang tertangguh sebelum ini, kini siap dan dalam proses percubaan bagi memastikan ia mampu beroperasi sepenuhnya untuk memenuhi permintaan bekalan air di Lembah Klang.
Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, tempoh percubaan operasi tersebut sudah dimulakan dan dijangka akan mengambil sedikit masa.
"Dalam tempoh percubaan ini, kita akan lihat sama ada masih terdapat kelemahan pada LRA Langat 2 yang boleh ditambah baik.
"Perkara ini (percubaan operasi) perlu dibuat dan mengambil masa paling minima tiga bulan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Rapat Ramadan Menteri Besar Selangor bersama penjawat awam Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Menurutnya, beliau menjangkakan menjelang Ogos ini, LRA Langat 2 ini akan dapat menambah sebanyak 325 juta liter air (MLD), sekali gus dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan air termasuk memenuhi keperluan pasaran pembangunan, kilang-kilang dan sebagainya.
"Ia juga mampu meningkatkan kadar rizab air negeri dari tiga peratus sebelum ini kepada tujuh peratus," katanya.
Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar memberitahu projek LRA Langat 2 dijangka siap pada akhir 2023.
Sementara itu, ketika ditanya, apakah dengan siapnya projek LRA Langat 2 ini akan menyebabkan kenaikan tarif air, Amirudin menafikan perkara tersebut.
"Jika berlaku kenaikan tarif ia tiada kaitan dengan projek ini. Ia hanya ada kaitan dengan berapa lama kita tak naikkannya.
"Saya akan umumkan pada Jun atau Julai berkenaan perkara ini dan yang pastinya kerajaan negeri akan cuba meminimakan tekanan dan penambahan jika berlaku kenaikan tarif air," katanya.
Katanya, jika kerajaan negeri mempunyai lebihan pendapatan, pihaknya lebih suka untuk mengurangkan kesan sebanyak mungkin kepada rakyat.
LRA Langat 2 mula dibina pada 2014 bagi memenuhi permintaan tinggi di Lembah Klang akibat pertumbuhan yang pesat serta mengelakkan krisis air menjelang 2020.
Projek bernilai RM8 bilion ini mampu membekalkan 1,130 MLD apabila siap sepenuhnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!