Permohonan SPRM batal saman Hasanah didengar 8 Julai

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang mencabar tindakan suruhanjaya itu membekukan akaun banknya sejak September tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad yang mewakili SPRM berkata pihaknya memfailkan permohonan itu pada 19 April lepas.

"Alasan untuk membatalkan saman itu tidak wajar dinyatakan. Kita tunggu pendengaran permohonan kami untuk membatalkan saman itu pada 8 Julai ini," katanya semasa ditanya alasan untuk membatalkan saman itu selepas pengurusan kes berkenaan di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Sofian Abd Razak, hari ini.

Sementara itu, peguam Datuk Shaharudin Ali, yang mewakili Hasanah berkata mahkamah juga menetapkan tarikh sama (8 Julai) untuk mendengar saman pemula berkenaan.

Bagaimanapun, peguam itu berkata mahkamah akan mendengar permohonan SPRM untuk membatalkan saman Hasanah terlebih dahulu.

"Selepas mahkamah mendengar permohonan SPRM untuk membatalkan saman anak guam saya, mahkamah kena buat keputusan sama ada saman berkenaan meremehkan, menyalahguna proses mahkamah, tidak masuk akal dan tiada locus standi.

"Ini akaun gaji orang, bukan akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan akaun anak syarikat 1MDB serta bukan akaun rahsia. Ini adalah akaun duit gaji beliau (Hasanah) yang dibayar oleh kerajaan. Saya tidak pernah dengar bagaimana duit gaji dibekukan," katanya sambil menegaskan saman itu mempunyai asas kerana akaun anak guamnya telah dibekukan.

Dalam saman difailkan pada 28 Mac lepas, Hasanah, 61, yang menamakan SPRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama dan kedua, memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan ke atas akaun bank berkenaan bertarikh 3 September 2018 yang dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM adalah terbatal dan tidak sah.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memohon perintah deklarasi bahawa perintah larangan terhadap akaun berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 37(1) Akta SPRM adalah bertentangan atau bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama saman itu, Hasanah mendakwa pihak SRM tidak pernah memaklumkan kepadanya berkaitan perintah larangan ke atas akaun banknya sepanjang beliau direman pada 29 Ogos 2018 dan dibebaskan daripada tahanan reman pada 3 September 2018.

Bagaimanapun, katanya, beliau mendapati urusan perbankannya gagal ketika berurusan pada keesokannya (4 September 2018).

Menurut Hasanah, beliau kemudiannya menghubungi pegawai penyiasat SPRM bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai akaun bank itu dan pegawai berkenaan menyatakan bahawa akaun bank hanya dibekukan sementara mengikut prosedur siasatan biasa oleh pihak SPRM.

Katanya, sebanyak lima pucuk surat telah dihantar kepada pihak SPRM antara 9 Okt dan 18 Dis 2018 bagi memohon pelepasan pembekuan akaun bank itu, namun pada 6 Dis tahun sama, Bahagian Siasatan SPRM menjawab permohonan untuk pelepasan akaun berkenaan dengan mengatakan ia tidak dapat dipertimbangkan.

Hasanah mendakwa beliau mengalami kesukaran untuk menyara kehidupannya yang bergantung sepenuhnya kepada duit pencen yang dimasukkan ke dalam akaun bank berkenaan selain tidak mempunyai sumber pendapatan lain melainkan wang gaji dan wang pencen tersebut.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!