Penghuni di sebalik tirai besi tak dilupakan
ALOR SETAR - Penghuni di sebalik tirai besi tidak pernah dilupakan ketika umat Islam meraikan kedatangan Ramadan mahupun Syawal.
Pengerusi Persatuan Membantu Orang-Orang Dalam Penyeliaan (Penawar) Kedah, Idris Ismail berkata, setiap tahun Penawar mengagihkan buah kurma kepada penghuni penjara agar mereka juga dapat menikmati ibadah puasa seperti umat Islam lain.
Menurutnya, sumbangan ini sebagai memberi sokongan selain menunjukkan keprihatinan masyarakat luar terhadap penghuni penjara.
“Sumbangan buah kurma ini adalah aktiviti tahunan Penawar kepada penghuni penjara di Pokok Sena, Alor Setar, Sungai Petani dan Kem Tentera Tok Jalai, Jitra,” katanya, selepas menyerahkan sumbangan buah kurma kepada Pengarah Penjara Negeri Kedah, Mohd Sabri Yaacob.
Idris berkata, pihaknya dengan kerjasama beberapa NGO antaranya, Lions Club Alor Setar menyampaikan 70 kotak buah kurma untuk diagihkan kepada lebih 7,000 penghuni penjara di negeri ini.
“Sumbangan ini adalah hasil dana daripada Ahli Jawatankuasa (AJK) persatuan termasuk orang ramai. Kami berharap sumbangan ini menceriakan penghuni dalam menunaikan ibadah puasa dengan keinsafan, selain fokus mempelajari ilmu kemahiran sepanjang ditahan agar setelah bebas kelak, menjadi rakyat berguna dalam masyarakat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!