Kerajaan perlu tapis pemimpin lompat parti

Ahmad Syukri
Ahmad Syukri
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan PH perlu lebih berhati-hati dan membuat proses tapisan ketat sebelum menerima mana-mana pemimpin lompat parti di dalam gabungan itu.

Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ahmad Syukri Che Ab Razab berkata, jika pihak terlibat benar-benar ingin membantu kerajaan, mereka boleh memainkan peranan melalui meja pembangkang dan bukannya mengambil tindakan lompat parti untuk bersama-sama PH.

Katatanya, majoriti rakyat menghukum Umno pada PRU14 lalu dan PH tidak boleh menerima pelompat ini dengan sewenang-wenangnya serta beranggapan mereka sudah bertaubat.

"Sewajarnya jika pemimpin dan anggota Umno merasakan parti itu tidak lagi kuat seperti dahulu, maka mereka perlu berusaha untuk membawanya kembali ke landasan perjuangan lebih relevan.

"Bukannya masing-masing melompat untuk menyelamatkan nasib sendiri. Betapa palsunya kesetiaan yang di canang sebelum ini apabila begitu mudah pelompat meninggalkan bahtera lama yang sedang diuji," katanya.

Ahmad Syukri berkata demikian mengulas perkembangan terkini dalam kepimpinan Umno di mana terdapat sebilangan pemimpinnya mengambil tindakan keluar parti malah ada juga yang mengumumkan untuk menyertai komponan PH.

Mengulas lanjut, Ahmad Syukri berkata, pemimpin Umno pada masa kini lebih beruntung berikutan tugas sebagai pembangkang lebih mudah jika dibanding sebelum ini.

"Rakyat sudah cukup matang dan kritikal dalam membuat penilaian malah kebijaksanaan mereka menjadikan kepimpinan kerajaan boleh bertukar tangan bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

"Pembangkang hari ini juga mempunyai ruang seluas-luasnya untuk tampil menerusi media arus perdana dan dapat menganjurkan demonstrasi tanpa ada provokasi daripada kerajaan," katanya.

Ahmad Syukri turut memberi peringatan kepada seluruh ahli Umno supaya dapat meneruskan perjuangan sebagai pembangkang yang jujur, ikhlas dan berani.

Tambahnya, setiap pemerintahan memerlukan pembangkang yang baik bagi menjadi ejen semak dan imbang dalam memastikan urus tadbir negara sentiasa mengikut kepentingan rakyat.

"Jika pembangkang benar-benar bekerja dengan jujur, tekad, ikhlas dan konsisten, lambat laun mereka akan berjaya menjadi kerajaan seperti yang dicapai oleh PH pada hari ini,"katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!