Yatt Hamzah perlahankan urusan duniawi

Pelakon, Yatt Hamzah
Pelakon, Yatt Hamzah
A
A
A

TIDAK pernah lekang senyuman yang terukir pada bibir pelakon Yatt Hamzah setiap kali bertemu empat mata dengannya.

Selain bergelar pelakon dan pengacara, Haryati Hamzah atau lebih dikenali Yatt Hamzah juga aktif dalam aktiviti kerohanian dan dakwah selepas mengambil keputusan untuk berhijrah dan mengenakan hijab kira-kira tujuh tahun lalu.

Berkongsi cerita tentang penglibatannya sebagai ahli jawatankuasa Himpunan Artis Sayang al-Quran 4.0 (HASA) yang baru berlalu minggu lalu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, Yatt mengharapkan agar lebih ramai lagi golongan artis dapat menyertai program ini pada masa akan datang.

“Terlalu banyak pengalaman baharu yang dapat saya pelajari setiap kali tibanya program HASA. Rata-rata yang hadir adalah semua penggiat seni termasuklah rakan-rakan media.

“Kami bertukar pandangan dan bertanyakan tentang soalan berhubung permasalahan yang dialami sepanjang bergelar anak seni, banyak input dan soalan menarik dapat didengar dan dijadikan iktibar.

“Jadi, saya rasa sangat teruja dan gembira apabila program seumpama ini menjadi antara aktiviti tetap setiap kali tibanya bulan Ramadan di samping bersama-sama menghayati dan mendalami al-Quran.

“Disebabkan itulah, apabila tibanya bulan Ramadan saya tak akan ambil kerja luar dari Kuala Lumpur kerana mahu berikan sepenuh tumpuan dengan aktiviti-aktiviti seperti ini, dalam bulan mulia ini.

“Di sini juga, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua penggiat seni yang sudi hadir pada acara lalu dan semoga pada tahun seterusnya akan bertambah ramai lagi yang hadir,” katanya kepada Sinar Harian

Artikel Berkaitan:

Bukan sahaja bergelar AJK HASA, Yatt juga merupakan Naib Presiden Usrah Fitrah Malaysia (UF) bersama Diana Amir serta Heliza Helmi.

Pelakon, Yatt Hamzah dari kiri bersama anak dan rakan Himpunan Artis Sayang al-Quran 4.0
Pelakon, Yatt Hamzah dari kiri bersama anak dan rakan Himpunan Artis Sayang al-Quran 4.0

Dihantui peristiwa di Syria

Selain menyandang status selebriti, Yatt juga merupakan antara salah seorang aktivis misi kemanusiaan yang aktif dalam membantu menyalurkan bantuan kepada mangsa keganasan dunia.

Mengimbau kembali detik kali pertama menjejakkan kaki di bumi bergolak Syria, Palestin pada awal Mac 2015, Yatt mengakui dia masih dihantui peristiwa menyaksikan penderitaan hidup rakyat di sana.

“Mereka di sana dicatu makanan namun kita di sini penuh dengan kemewahan. Makan pun tak habis terutama sekali apabila masuk bulan puasa, banyak makanan dibazirkan dan dibuang-buang begitu sahaja.

“Di sana ada yang terpaksa makan rumput, petik daun serta koyakkan kotak semata-mata untuk direbus dan dijadikan makanan bagi seisi keluarga,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!