Anak maut, bapa parah dirempuh SUV
MARAN - Seorang kanak-kanak maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama bapanya dirempuh oleh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di KM33 Jalan Temerloh-Bandar Tun Abdul Razak, Jengka hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Muhammad Izzul Al Waiz Suhairy, 8, meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya, Suhairy Samsudin, 43, cedera parah.
Difahamkan ketika kejadian, bapa mangsa dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah Pra Tahfiz Al Banna Bandar Jengka.
Ketua Polis Maran, Deputi Superintenden Norzamri Abd Rahman berkata, kejadian berlaku apabila pemandu SUV jenis Honda CRV merempuh bahagian belakang motosikal mangsa.
Menurutnya, pemandu SUV terbabit yang datang dari arah Temerloh menghala ke Jengka memberitahu bahawa dia tidak nampak motosikal terbabit kerana keadaan jalan berkabus dan gelap.
"Akibat rempuhan itu, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar itu tercampak ke tengah jalan.
"Kanak-kanak itu meninggal dunia di lokasi kejadian dan bedah siasat dilakukan di Hospital Jengka, di sini manakala bapanya yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk menerima rawatan," katanya dalam suatu kenyataan.
Katanya lagi, pemandu SUV bersama empat lagi penumpangnya bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!