BDB jalin kerjasama dengan Kota Mas
BINA Darulaman Berhad (BDB) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Koperasi Telekom Malaysia Berhad (Kota Mas) dalam usaha untuk memperluaskan lagi jaringan industri dan perniagaan serta menyokong antara satu sama lain dalam projek yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Faris Najhan Hashim berkata, pemeteraian MoU tersebut adalah salah satu inisiatif antara BDB dan Kota Mas meneroka peluang bagi membangunkan, menyokong dan memanfaatkan anggota-anggota mereka dalam pemilikan hartanah terutamanya pembelian rumah yang telah dan akan dibangunkan oleh BDB di kawasan utara.
Faris Najhan berkata, BDB menawarkan penjualan rumah kepada Kota Mas melibatkan lebih 270 unit di dua perbandaran iaitu Bandar Darulaman, Jitra dan Darulaman Perdana di Sungai Petani.
“BDB menawarkan tiga jenis produk perumahan kepada Kotamas iaitu rumah teres setingkat (Amethyst) dan dua tingkat tingkat (Fuchsia) serta pangsapuri mampu milik (Indera) dengan nilai jualan kasar berjumlah hampir RM60 juta.
“Dengan perjanjian ini, BDB bukan sahaja dapat menawarkan penjualan rumah seperti yang ditawarkan tetapi juga wujudnya penyertaan bersama dalam promosi pembelian rumah BDB kepada anggota-anggota Kota Mas,” katanya dalam majlis menandatangani MoU antara BDB dan Kota Mas di sini hari ini.
MoU berkenaan ditandatangani sendiri oleh Faris Najhan dan Naib Pengerusi Kota Mas, Bistamam Mohd Zainal sambil disaksikan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan BDB, Mohd Iskandar Dzulkarnain Ramli; Pengerusi Kota Mas, Zailan Md Diah serta Pengurus Besar Kota Mas, Adnan Mohd Amer.
Tambah Faris Najhan lagi, kerjasama di antara BDB dan Kota Mas tidak terhenti pada apa yang telah dipersetujui di dalam MoU itu semata-mata dan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
“Tawaran penjualan rumah berkenaan merupakan pencetus kepada usahama lebih besar yang sedang dirangka kedua-dua belah pihak dan saya yakin sekiranya semuanya berjalan dengan lancar ia akan diumumkan dalam tempoh yang terdekat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Kota Mas, Zailan Md Diah menjelaskan pihaknya teruja dengan kerjasama yang terjalin di mana Kota Mas sebagai satu unit entiti koperasi dapat memasarkan perumahan tersebut kepada anggota-anggota secara khusus dan kepada ahli koperasi lain secara amnya dengan kepakaran yang ada pada BDB dalam bidang perumahan.
“Kami memilih BDB atas kekuatan jenama dan kredibiliti anak syarikatnya iaitu BDB Land Sdn Bhd sebagai pemaju hartanah yang terkenal di utara tanah air di mana ia akan membuka peluang kepada kami untuk meningkatkan keuntungan koperasi melalui pendapatan berulang yang disasarkan sehingga 10 peratus menjelang 2020 dan saya berharap kerjasama ini akan berterusan dengan jayanya di masa akan datang,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!