Remaja 13 tahun mati lemas ketika mandi di kuari
KLUANG - Kegembiraan empat remaja lelaki yang sedang mandi di sebuah kuari di Jalan Ayer Hitam-Kluang berhampiran Felda Ayer Hitam, di sini, bertukar tragedi selepas salah seorang daripada mereka lemas, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa yang lemas dikenali sebagai Aniq Al Imran Yusof, 13, dari Kampung Rahmat, Sri Lalang, di sini.
"Siasatan awal mendapati, mangsa dikatakan bersama empat rakan termasuk abang kandungnya berumur 17 tahun telah pergi ke kuari di sebuah kilang di Jalan Batu Pahat tersebut untuk mandi.
"Pada mulanya mereka hanya mandi di kawasan tebing dan tempat yang cetek sahaja sebelum mangsa dikatakan tergelincir dan telah masuk ke dalam kuari di kawasan yang dalam dan mangsa yang tidak pandai berenang telah lemas di dalam kuari tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, abang mangsa kemudian menghubungi polis dan anggota Balai Polis Sri Lalang telah pergi ke tempat kejadian sebelum usaha mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang.
"Mangsa telah dijumpai di dalam kuari tersebut sebelum disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!