‘Lama-lama dah biasa’
PONTIAN - “Setiap hari saya mampu baiki paling kurang 30 motosikal," kata seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang mengalami kecacatan kekal pada tangan kanannya selepas terlibat dalam kemalangan 34 tahun lalu.
Rosti Marin, 53, yang mesra dipanggil Codet bekerja sebagai mekanik dan memiliki sebuah bengkel motosikal di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas di sini.
Menurutnya, walaupun tabngan kanannya tidak boleh berfungsi, semua tugas dilakukan sendiri tanpa meminta bantuan daripada sesiapa.
“Saya akan cari jalan mudah untuk bergerak dan baiki motosikal. Dengan sebelah tangan, saya perlu rancang pekerjaan yang akan dilakukan.
“Dari buka skru sampailah tanggalkan bahagian enjin, semuanya dilakukan secara teratur seperti dijadualkan. “Ia penting supaya tidak ada yang tertinggal sehingga perlu melakukannya berulang kali,” katanya. Rosti berkata, dia tidak pernah mengikuti sebarang kelas kemahiran secara formal, sebaliknya kemahiran membaiki motosikal hanya diperoleh daripada pengalaman bekerja dengan seorang mekanik di kampung.
Menceritakan kembali detik ketika terlibat kemalangan, Rosti berkata, ketika itu dia bekerja dengan seorang penduduk yang juga mekanik ketika berusia 19 tahun.
“Masa tu saya memang minat sangat dengan motosikal. Jadi saya ambil keputusan jadi mekanik.
“Kemalangan berlaku masa saya tengah pandu uji motosikal yang baru saja saya baiki,” katanya. Akibat dari kemalangan itu, tangan kanannya tidak boleh berfungsi kerana mengalami kecacatan kekal.
“Masa itu saya rasa masa depan gelap sangat, saya fikir mustahil saya boleh bekerja tanpa tangan kanan. Saya cukup sedih ketika itu.
“Saya cuba perlahan-lahan baiki motosikal. Pada mulanya memang rasa janggal tanpa tangan kanan. Tetapi lama-lama saya sudah biasa,” katanya. Rosti berkata, sejak kejadian itu dia tidak pernah berputus asa sehingga berjaya membuka bengkel motosikalnya sendiri.
Dia berkata, dia pernah membuat pinjam Tekun lebih 10 kalidengan nilai setiap pinjaman sebanyak RM6,000 bagi menambah baik bengkelnya.
“Setiap kali buat pinjaman, saya tak pernah culas buat bayaran setiap minggu sebanyak RM100.
“Alhamdulillah, disebabkan itu saya pernah jadi penerima anugerah Tekun Parlimen Tanjung Piai pada tahun 2014,” katanya.
Selain itu, bengkel itu juga pernah menjadi tempat dia bersama isteri dan anak-anak tinggal sebelum berpindah ke rumah bantuan diberikan Baitulmal, lima tahun lalu.
“Banyak peralatan dibeli menggunakan duit pinjaman. Pelanggan tentu mahukan motosikal mereka yang rosak dibaiki dengan segera.
“Semua peralatan perlu ada, baru kerja dapat disiapkan dengan cepat. Jadi pelanggan pun suka. “Bukan setakat motor orang kampung, tetapi ada juga penduduk dari Parit Sikom dan Kayu Ara Pasong juga pernah datang sini,” katanya. Rosti turut melatih empat pelajar SMK Dato Yunos Sulaiman yang tinggal di Kampung Paya Embun termasuk anaknya Mohd Najib,17, yang mengikuti kelas kemahiran.
Katanya, dia mahu lebih ramai anak muda kampung terlibat dengan bidang automatif.
“Jika tidak dapat buka bengkel pun, sekurang-kurangnya ada kemahiran untuk bekerja dalam industri permotoran bila tamat sekolah nanti,”katanya.
Seorang anak didik Rosti, Mohd Akif Haziq, 17, berkata, dia belajar kemahiran membaiki motosikal sejak tahun lalu.
“Seronok belajar dengan Pak Codet, sebab senang faham.
“Dia sangat pentingkan ilmu dan mahu saya berjaya,” katanya.
Bagi Mohd Azim Baharom,17, pula berkata, dia bertuah kerana dapat menjadi anak didik Rosti.
“Banyak tunjuk ajar diberikan Pak Codet.
“Tak sama dengan belajar dari buku jika tidak tahu praktikal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!