Masjid Sultan Ahmad Shah lokasi utama World#QuranHour di Pahang

Md Abdu, Mohd Rozamli dan Nik Ibrahim bersama kakitangan JAIP yang turut menyokong usaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang menjayakan program World #QuranHour.
Md Abdu, Mohd Rozamli dan Nik Ibrahim bersama kakitangan JAIP yang turut menyokong usaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang menjayakan program World #QuranHour.
A
A
A

KUANTAN - Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap di sini dipilih sebagai lokasi utama penganjuran World#QuranHour peringkat Negeri Pahang, 30 Mei ini.

Sekretariat Rumah Ngaji Pahang mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Jabatan Mufti Negeri Pahang untuk menjayakan program itu dengan sasaran 500 peserta mengambil bahagian untuk bersama-sama membaca dan berinteraksi dengan al-Quran di lokasi utama.

Penyelaras Program merangkap Setiausaha Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Razak berkata, pihaknya bekerjasama dengan JAIP untuk program ini digerakkan secara serentak di seluruh masjid dan surau di negeri ini.

Malah, katanya, semua institusi baik kerajaan mahupun swasta turut digalakkan untuk bersama-sama berinteraksi dengan al-Quran serentak bermula jam 12 hingga 1 tengah hari, 30 Mei ini.

"Alhamdulillah, pihak Sekretariat Rumah Ngaji Pahang kini sudah bersedia untuk penganjuran World#QuranHour dengan tema kali ini Solusi Cabaran Sejagat Surah al-Kahf.

“Insya-ALLAH, majlis di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap bermula jam 11 pagi bagi memberi laluan kepada majlis perasmian yang dijangka disempurnakan Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan bersama Penolong Pengarah Kanan Bahagian Dakwah Jaip, Nik Ibrahim Nik Abdullah di Pejabat JAIP, Pekan kelmarin.

Hadir sama, Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak.

Artikel Berkaitan:

Mohd Rozamli dan Md Abdu mengadakan pertemuan bersama Dr Abdul Rahman di pejabatnya.
Mohd Rozamli dan Md Abdu mengadakan pertemuan bersama Dr Abdul Rahman di pejabatnya.

Mohd Rozamli berkata, pihaknya menjemput pendakwah bebas, Sheikh Mohib Khauli untuk memberi tausiah dan berinteraksi dengan surah al-Kahf pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Nik Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan semua pihak termasuk dari agensi kerajaan, swasta dan institusi pengajian tinggi (IPT) turut mengambil bahagian bagi menyemarakkan sambutan itu.

Menurutnya, JAIP menyambut baik usaha itu dan bersedia memberikan kerjasama dalam menjayakan program World #QuranHour peringkat negeri Pahang kali ini.

“Program ini amat baik untuk membawa masyarakat untuk bersama-sama bertaddabur dan bertazzakur sambil mengambil pengajaran daripada pengertian surah yang dibacakan.

“Ia satu program bermanfaat dan satu kempen untuk membudayakan al-Quran kalangan umat Islam. Al-Quran bukan sekadar perlu dibaca tetapi juga kena faham ertinya dan amalkan segala yang digariskan dalam kitab suci ini,” katanya.

Nik Ibrahim berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada pihak masjid dan surau di negeri ini mengenai program tersebut dan menggalakkan mereka untuk sama-sama adakan slot membaca al-Quran secara serentak pada tarikh berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!