Sambut Ramadan di Beijing bagaikan keluarga besar
MERANTAU di bumi asing bagi menuntut ilmu adalah sebuah pengembaraan baharu bagi penulis. Pelbagai coretan sama ada suka atau duka, harus ditempuh penulis sepanjang melalui pengembaraan ilmu selama 10 bulan ini.
Namun, apa yang paling terkesan di hati ialah menyambut bulan Ramadan di China buat kali pertama tanpa keluarga tercinta, ternyata ia membuat hati ini seperti dijentik rasa hiba.
Penulis terkenang, setiap kali bulan Ramadan tiba, pasti seluruh anggota keluarga akan berkumpul dan berbuka puasa bersama pada hari pertama selesainya Rukun Islam ketiga itu.
Menyambut Ramadan di negara Tembok Besar ini benar-benar menguji keimanan kerana umat Islam di sini terpaksa berpuasa lebih 17 jam berbanding 14 jam di tanah air.
Tempoh berpuasa panjang kerana waktu imsak di Beijing adalah sekitar 3 pagi.
Lagipun, bulan ini adalah antara pertukaran musim bunga ke musim panas di China dan suhu semakin meningkat, menjadikan keadaan tidak selesa juga untuk penduduk tempatan.
Walaupun masyarakat Islam di China hanyalah golongan minoriti, tetapi populasinya agak ramai dengan dianggarkan seramai 23 juta penduduk. Daripada jumlah itu, 250,000 berada di kota kedua terbesar di China ini.
Jika di Malaysia, bila tibanya bulan mulia ini, Bazar Ramadan antara yang dinantikan semua masyarakat tidak mengira bangsa dan agama. Apa tidaknya, waktu inilah dapat dilihat pelbagai juadah bermusim yang jarang atau sukar untuk mendapatkannya pada hari biasa seperti kuih nekbat yang popular di Kelatan dan Terengganu serta air katira.
Bagaimanapun, kemeriahan Bazar Ramadan itu tidak dapat dirasai penulis di Beijing kerana di sini tiada sebarang bazar mahupun bufet Ramadan di hotel tempatan.
Pada hari pertama Ramadan, penulis berpeluang menunaikan solat tarawih bersama penduduk Islam di sebuah masjid zaman purba dan dianggap antara masjid tertua di China yang dikenali sebagai Masjid Niujie.
Bersolat di dalam masjid yang berusia lebih 1,400 tahun itu sememangnya mempunyai keunikannya yang tersendiri, penulis berasa tenang apabila melihat seni ukiran pada dinding masjid itu yang mempamerkan gabungan budaya dari Arab dan Cina.
Usai menunaikan solat tarawih di masjid itu, penulis terserempak dengan sekumpulan pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian bahasa Mandarin di Universiti Pengajian Bahasa dan Kebudayaan Beijing (BLCU) di pintu utama masjid itu.
Menjadi kelaziman apabila bertemu rakyat Malaysia di bumi asing ini, penulis pasti akan bertegur sapa.
Perbualan kami tidak berakhir di situ, pada Ramadan keenam yang jatuh pada hujung minggu kami berkumpul di rumah penulis di Jianguomen, yang terletak di tengah ibu kota. Mereka perlu menempuh perjalanan kira-kira 19 kilometer dari kampus di Haidian, barat Beijing bagi berbuka puasa bersama.
Dalam jamuan ringkas itu, pelbagai juadah masakan Malaysia seperti nasi lemak, mi kari, ayam masak merah dan kek batik dihidangkan.
Bagi mereka dan rakyat Malaysia di ibu negara China ini, melalui Ramadan ini, semangat persaudaraan yang erat mampu dipupuk sekali gus menjadikan ia sambutan yang begitu bermakna.
Amirah Zahirah Azharuddin, 22, pelajar tahun empat pengajian bahasa Mandarin berkata masakan air tangan ibunya antara perkara yang paling dirindui setiap kali bulan puasa.
“Ini tahun keempat saya berpuasa di negara orang, jika di Malaysia ibu selalu masakkan makanan kegemaran saya iaitu laksa Pulau Pinang setiap kali Ramadan.
“Itu antara perkara yang saya rindukan tetapi perasaan itu sedikit terubat apabila kami (rakan-rakan) di sini bagaikan satu keluarga besar yang sentiasa melengkapi satu sama lain dan adakalanya kami memasak makanan kegemaran masing-masing bersama,” kata anak jati Pulau Pinang itu.
Bagi Wan Nur Amirah Wan Nafi, 22, yang turut mengikuti pengajian bahasa Mandarin berkata laungan azan secara terbuka antara yang dirinduinya.
"Jika di tanah air, rumah keluarga saya berada berhampiran masjid, jadi setiap kali hendak berbuka puasa, saya akan menunggu laungan azan dari masjid itu ataupun mengikutinya melalui siaran televisyen.
“Berbeza di sini, azan tidak boleh dilaungkan menggunakan alat pembesar suara, hanya boleh dilakukan di pekarangan masjid sahaja, jadi memang tidak akan dengar sekiranya berada di rumah. Itu antara yang paling saya rindukan,” katanya.
Sementara itu, bagi pakar asing yang bekerja di Radio Antarabangsa China (CRI), Ahmad Syukri Azmi, 28, berkata cuaca yang panas dan kering menjadi antara cabaran buatnya.
“Di sini bukan sahaja waktu berpuasa yang panjang, tetapi keadaan cuaca yang tak menentu menjadi cabaran juga buat semua umat Islam di Beijing ini. Namun, alhamdulliah tuntutan puasa tetap dapat dilakukan dengan jayanya,” kata pemuda yang telah menetap lebih 10 bulan di Beijing ini.
Sesungguhnya berpuasa di bulan Ramadan di luar negara satu pengalaman yang mencabar tetapi rakyat Malaysia begitu bersyukur dengan apa yang ada kerana yang penting adalah mereka dapat menjalani ibadah puasa walau di mana mereka berada. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!