Litrak, Sprint peruntuk RM22.6 juta untuk program CSR
SHAH ALAM - Syarikat konsesi lebuhraya, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) telah memperuntukkan sebanyak RM22.6 juta khusus bagi program tanggungjawab sosialnya (CSR) sejak tahun 2009.
Ketua Jabatan Komunikasi Litrak, Shah Rizal Mohamed Fawzi berkata, jumlah tertinggi diperuntuk bagi program pemberian diskaun tol sempena musim perayaan iaitu sebanyak RM14.3 juta sepanjang tempoh tersebut.
Menurutnya, manakala selebihnya diperuntuk untuk program pemberian rebat tol, penganjuran program berbentuk pendidikan dan keselamatan jalanraya dan sumbangan serta derma kepada pertubuhan kebajikan menjelang musim perayaan.
“Tahun ini masuk kali ke-11 kita teruskan program CSR bagi membantu mereka yang memerlukan.
“Menjelang Aidilfitri ini, 50 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara dipilih untuk menerima sumbangan hari raya,” katanya pada sidang media selepas Program ‘Shopping Spree’ itu di Aeon Mall, Shah Alam di sini.
Shah Rizal berkata, bagi penganjuran kali ini, setiap kanak-kanak diperuntukkan sebanyak RM200 dan jumlah keseluruhan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM14,000.
“Kami mahu anak-anak ini dapat merasakan kemeriahan raya tanpa ketinggalan dari segi persiapan.
“Aktiviti CSR ini akan diteruskan kerana kami percaya dengan konsep memberi kembali kepada komuniti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!