Timbang semula sekatan peminjam PTPTN ke luar negara

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) wajar menimbang semula cadangan menyekat perjalanan untuk ke luar negara bagi individu yang culas membayar hutang PTPTN.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhamad Nur Iman Abdul Khudus berkata, pihak pengurusan PTPTN sewajarnya lebih rasional dalam menetapkan sebarang cadangan tanpa menindas dan menekan hak mereka sebagai rakyat Malaysia dalam usaha memastikan peminjam melunaskan semula hutang PTPTN.

“PKPIM juga mahu menggesa janji 5 Buku Harapan yang menyatakan iltizam Pakatan Harapan (PH) untuk meringankan beban hidup yang ditanggung anak muda dengan menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4,000 sebulan dilaksanakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Senarai hitam peminjam antara cadangan dikemukakan kepada PTPTN

Ramai terpedaya janji kosong PH: Abdul Hadi

“Selain itu, PKPIM menyeru agar diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN terus dilaksanakan dan kos upah (ujrah) dihapuskan kerana hal ini mewujudkan hutang tambahan kepada peminjam PTPTN, termasuklah langkah memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Dalam masa sama, PKPIM turut mengharapkan agar segala solusi dan cadangan yang dikemukakan PTPTN bagi menyelesaikan kemelut ini dilakukan dengan berhemah serta tidak mendera graduan bagi memastikan kebajikan generasi muda terjamin.

Terdahulu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, cadangan supaya PTPTN menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukakan pihak berkaitan hasil daripada sesi libat urus yang dijalankan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, penjelasan bagi cadangan tersebut kerana ia berkesan ke atas peminjam PTPTN yang culas tidak membayar pinjaman bertujuan untuk mendisiplinkan mereka.

Wan Saiful bagaimanapun berkata, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan cadangan supaya peminjam yang gagal membayar hutang tidak dibenarkan ke luar negara.

“Sejujurnya saya pun tidak selesa dengan cadangan berkenaan (sekatan ke luar negara dan larangan perbaharui lesen memandu), tetapi sekali lagi saya tegaskan ia adalah cadangan daripada perbincangan antara PTPTN dengan kumpulan tertentu dalam rundingan meja bulat sebelum ini.

”Kita (PTPTN) belum menyatakan keputusan sepenuhnya lagi kerana ia masih di peringkat rundingan, cuma rakyat tersalah faham seolah-olah PTPTN sudah bersedia untuk melaksanakannya berdasarkan laporan sebuah portal berita.

“Rakyat perlu meneliti cadangan dan idea yang dikeluarkan PTPTN di laman sesawang dan jika tidak bersetuju, mereka boleh melontarkan pandangan pada ruangan yang disediakan,” Wan Saiful dipetik sebagai berkata ketika ditemui di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Arau semalam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!