Warga emas dipercayai sesat ditemui dalam keadaan letih
KUALA PILAH – Seorang lelaki warga emas yang dipercayai sesat di kebun getah di Kampung Dioh di sini, ditemui selamat selepas gerakan mencari mangsa hampir dua jam di lokasi semalam.
Bagaimana pun suasana pilu seketika apabila salah seorang anaknya menangis teresak-esak sambil memeluknya selepas mangsa berjaya ditemui pada lewat petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Eva Saifun Kamuni berkata, mangsa, Teo Kok War, 88, ditemui oleh pasukan bomba serta bantuan orang kampung pada jam 6.56 petang.
"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai ke kebun itu seawal jam 7 pagi, namun masih tidak pulang ke rumah sehingga jam 5 petang.
"Bimbang dengan keselamatan bapa, anaknya datang ke Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah membuat laporan pada jam 5.05 petang dan gerakan mencari dilancarkan dengan dibantu pasukan polis, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) serta orang kampung," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Eva Saifun berkata, gerakan mencari mangsa melibatkan pencarian sejauh dua kilometer di lokasi dengan berjalan kaki.
"Kami menemui basikal milik mangsa di tepi jalan dan ia sedikit sebanyak memudahkan kerja-karja pencarian."
"Mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan keletihan kerana telah berjalan terlalu jauh mungkin sedang berusaha untuk mencari jalan keluar,” katanya.
Tambahnya, sebaik sahaja ditemui, mangsa diserahkan kepada pihak HTAN untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!