Ujian terbesar keluarga sepanjang Ramadan

Suami mangsa, Mohd Udzir (dua dari kanan) tidak dapat menahan sebak ketika tiba bersama jenazah isterinya di rumah keluarga arwah di Seri Menanti kelmarin.
Suami mangsa, Mohd Udzir (dua dari kanan) tidak dapat menahan sebak ketika tiba bersama jenazah isterinya di rumah keluarga arwah di Seri Menanti kelmarin.
A
A
A

KUALA PILAH - Keluarga Ketua Jururawat Hospital Serdang, Allahyarham Siti Kharina Mohd Kamarudin, 40, yang ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Cyberjaya, kelmarin masih bersedih dengan kematian itu yang dianggap ujian terbesar sepanjang Ramadan.

Ibu saudara Allahyarham, Datin Fauziah Mohamed, 54, berkata, mereka mahu penjenayah yang membunuh Siti Kharina di bawa ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman sewajarnya.

“Tak sangka ada orang yang tergamak melakukan jenayah sedemikian dan kami berharap polis dapat menangkap penjenayah terbabit dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Allahyarham di Kampung Tengah, Seri Menanti di sini kelmarin.

Menurut Fauziah, kali terakhir dia bertemu arwah pada 4 Mei lalu iaitu sehari sebelum Ramadan untuk berbincang persiapan meraikan Syawal di Kampung Tengah.

“Arwah tidak menampakkan perubahan dan dia seorang yang baik serta peramah. Kematian ini mengejutkan,” katanya yang memanggil Siti Khairani sebagai Kak Long.

Fauziah berkata, dia mengetahui insiden itu melalui kumpulan WhatsApp keluarga.

Sementara itu, sepupu arwah yang mahu dikenali sebagai Zura, 49, berkata, perkhabaran itu sangat mengejutkan.

Menurutnya, sudah beberapa tahun dia tidak berjumpa arwah biarpun hanya menetap di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:



Anak Allahyarham, Khairin Uzma (kiri) dan dua anak kembar, Khairin Daima Hana serta Khairin Damia Hasya bersama salah seorang ahli keluarga mereka
Anak Allahyarham, Khairin Uzma (kiri) dan dua anak kembar, Khairin Daima Hana serta Khairin Damia Hasya bersama salah seorang ahli keluarga mereka

“Saya merancang untuk bertemu arwah pada Syawal ini. Kejadian ini sangat memilukan, tambahan pula berlaku pada bulan Ramadan,” katanya.

Allahyarham yang hilang sejak 8 Mei lalu meninggalkan suami, Mohd Udzir Khalid, 40, dan tiga anak perempuan, Khairin Uzma, 14, serta anak kembar, Khairin Daima Hana dan Khairin Damia Hasya yang berusia 10 tahun.

Dalam pada itu, adik Allahyarham, Siti Khairani, 36, enggan mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

Jenazah Siti Kharina selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tengah, Seri Menanti selepas Isyak kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!