PBSNT belum fikir calon ganti Irfan

Irfan Bakti Abu Salim
Irfan Bakti Abu Salim
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) belum memikirkan calon pengganti ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim yang meletak jawatan Rabu lalu.

Timbalan Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kekosongan jawatan itu masih baharu dan pihak persatuan perlu meneliti sama ada terdapat keperluan untuk PBSNT mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Katanya, untuk sementara waktu, tugas tersebut telah diamanahkan kepada penolong jurulatih, Nafuzi Zain yang diyakini mampu mengemudi seluruh pasukan dengan baik.

"Sekarang ini kita teruskan dengan apa yang ada. Jika ada keperluan untuk ambil ketua jurulatih baru kita tengoklah nanti macam mana.

"Tetapi saya percaya dengan kemampuan Nafuzi kerana beliau juga ada banyak pengalaman dan telah menimba ilmu kejurulatihan yang luas ketika bersama Irfan," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Susulan peletakan jawatan tersebut, Hishamuddin berkata, pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat jawatankuasa khas dalam masa terdekat bagi tujuan penyelarasan semula beberapa aspek pengurusan dalaman termasuk prestasi hambar pasukan TFC yang dikatakan menjadi punca Irfan Bakti meletak jawatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!