Cari kaedah baru atasi pencerobohan bot nelayan Vietnam
KUANTAN - Kerajaan mempertimbangkan untuk mencari kaedah baharu yang terbaik dalam usaha membanteras kes-kes pencerobohan perairan negara oleh nelayan Vietnam.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika kunjungan hormat beliau ke atas Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc dan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri Vietnam, Pham Binh Minh, yang juga Menteri Luar negara itu, dua hari lalu.
Beliau berkata, kedua-dua pihak secara dasarnya bersetuju cadangan kaedah baharu itu dan kerajaan sedia pertimbangkan untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Vietnam berhubung perkara tersebut.
“Bagaimana kaedah itu kita tidak dapat jelaskan lagi namun mungkin kaedah yang kita laksanakan bersama Indonesia melalui MoU dalam isu sama sebelum ini boleh diguna pakai dan dilaksanakan dalam menangani isu sama dengan nelayan Vietnam daripada berterusan.
"Berdasarkan rekod kita, sejak 2006 hingga hari ini, sebanyak 748 bot nelayan Vietnam ditahan dan disita oleh agensi penguatkuasaan negara kita
"Daripada jumlah itu, seramai 7,203 nelayan Vietnam ditahan dan ada antaranya sudah atau sedang dibicarakan, dan ada yang sudah dikenakan tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Parlimen Indera Mahkota Kali Ke-2 di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini hari ini.
Saifuddin berkata, tindakan penguatkuasaan dalam isu ini tidak membantu menyelesaikan masalah secara menyeluruh sebaliknya kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang agak besar.
“Nelayan asing yang ditahan perlu ditanggung makan minumnya begitu juga masalah kesesakan di jeti yang menempatkan bot ditahan semua itu akan memberi beban kepada negara.
“Sebab itu kita cuba cari jalan untuk atasi masalah ini daripada berterusan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, perbincangan lanjut mengenai kaedah melaksanakan MoU itu akan dibincangkan pada mesyuarat membabitkan pegawai kanan kementerian kedua negara, Julai ini.
Menurutnya, butiran lengkap mengenai MoU berkenaan dijangka dapat dimuktamadkan sebelum hujung tahun ini dalam pertemuan antara beliau dan Binh Minh.
"Tarikh dan lokasi pertemuan atau mesyuarat itu belum diputuskan tapi jangkaanya sebelum akhir tahun ini dan saya juga perlu mempengerusikan mesyuarat membabitkan wakil dari Malaysia dan Vietnam,” katanya.
Saifuddin berkata, beliau berharap MoU itu dapat dimuktamadkan pada pertemuan berkenaan dan masalah yang berlarutan itu dapat diselesaikan segera dan tidak berulang lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!