KPDNHEP rampas 2,576 produk guna logo halal secara haram

Anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan di sebuah premis yang dipercayai menjual produk makanan yang tidak mendapat logo halal yang sah.
Anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan di sebuah premis yang dipercayai menjual produk makanan yang tidak mendapat logo halal yang sah.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri merampas 2,576 produk daripada sebuah syarikat pengeluar makanan yang menggunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) secara haram.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP negeri Muhamad Aizudin Mohd Said berkata, rampasan itu dilakukan penguat kuasa KPDNHEP di tiga premis runcit berasingan di sekitar Taman Merdeka Permai, Batu Berendam; Pengkalan Jaya, Alor Gajah dan Taman Limbongan Jaya, kira-kira jam 10.30 pagi,16 Mei lalu.

Menurutnya, serbuan dilakukan setelah pihaknya membuat risikan terlebih dahulu dan mendapati ketiga-tiga premis tersebut disyaki menjual produk makanan menggunakan label logo halal yang tidak mendapat kelulusan serta diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Kesemua produk makanan yang dirampas itu berjumlah RM4,800.50.

"Kami mendapati logo halal yang terdapat pada pembungkusan bukan daripada JAKIM mahupun pensijilan halal daripada luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM," katanya.

Antara produk makanan yang tidak menggunakan logo halal daripada JAKIM.
Antara produk makanan yang tidak menggunakan logo halal daripada JAKIM.

Tambahnya, KPDNHEP memberi amaran keras terutama kepada pihak pengeluar dan premis di negeri ini untuk tidak sewenang-wenangnya menggunakan logo halal sehingga boleh mengelirukan masyarakat beragama Islam.

"Ketiga-tiga premis terbabit disiasat mengikut Perintah 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu menggunakan logo halal JAKIM tanpa kebenaran," katanya.

Artikel Berkaitan:

Antara produk makanan yang disita termasuk tepung goreng, kerisik kelapa, tepung kastard, minuman berperisa, rempah sup, tepung pulut serta pes rojak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!