PKR buat laporan polis siasat Ketua Pengarah Yapeim
KUALA LUMPUR - PKR meminta polis menyiasat Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Datuk Abibullah Samsudin susulan penyebaran video ucapan seorang lelaki didakwa mempengaruhi kakitangan yayasan itu pada pilihan raya umum tahun lepas.
Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata sekiranya benar individu di dalam video itu adalah Abibullah, polis wajar mengambil tindakan mengikut Seksyen 503 Kanun Keseksaan, berkaitan ugutan jenayah dan Seksyen 9 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana pengaruh tidak wajar.
“Saya minta polis untuk menyiasat dan mengesahkan adakah benar individu dalam video berkenaan adalah Abibullah,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Pantai di sini, hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyeru polis menyiasat perkara itu dengan segera, kerana ia dipercayai melibatkan kedudukan, maruah dan martabat penjawat awam dan agensi Kerajaan.
Tular di media sosial baru-baru ini, yang memaparkan video seorang lelaki memberikan ucapan kepada kakitangan Yapeim, yang dipercayai bertujuan mempengaruhi mereka untuk tidak mengundi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Ruslan Khalid mengesahkan pihaknya menerima laporan itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya.
"Laporan yang sama berhubung kejadian itu turut dibuat di Pulau Pinang dan polis sedang menjalankan siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!