DMPP tapis 10 usul sebelum muktamar

Nuridah (duduk, tengah) bersama jawatankuasa DMPP selepas sidang media muktamar dewan itu di sini hari ini.
Nuridah (duduk, tengah) bersama jawatankuasa DMPP selepas sidang media muktamar dewan itu di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Dewan Muslimat Pas Pusat (DMPP) menerima sejumlah 10 usul yang akan menjalani proses penapisan sebelum dibawa ke Muktamar DMPP Kali ke 59, di Pusat Konvensyen Bukit Gambang Resort City di sini, 15 Jun nanti.

Ketuanya, Senator Nuridah Mohd Salleh berkata, kesemua usul tersebut akan ditapis oleh Jawatankuasa Usul Dewan Muslimat Pas Malaysia dan akan dibincangkan dalam muktamar.

Menurutnya, muktamar akan dihadiri perwakilan dari 179 kawasan dengan 2,000 pemerhati dari seluruh negara.

"Majlis dijadualkan akan dirasmikan oleh Presiden Pas Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan tema Islam Memimpin, Wanita Sejahtera. Ini adalah mesej jelas yang ingin disampaikan kepada rakyat bahawa hanya dengan Islam yang memimpin negara, kehidupan wanita akan sejahtera.

"Sejahtera merangkumi semua aspek kehidupan. Bahkan sempena muktamar kali ini juga akan diadakan pelancaran beberapa buah buku istimewa nukilan lajnah Politik, Tarbiyah dan Dakwah dan pelancaran Modul Baru Akademi Pengajian Saidatina Aisyah yang lebih dinamik.

"Paling penting, muktamar kali ini turut disertai perwakilan dari Dewan Muslimat Pas Kawasan Libaran, Sabah yang baru diluluskan penubuhannya. Ia sekali gus melambangkan bahawa rakyat Sabah menerima dan meletakkan Pas di hati mereka," katanya pada sidang media muktamar DMPP Kali Ke 59, yang diadakan di Bukit Gambang City Resort di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media ialah, Timbalan Ketua DMPP, Dr Rosni Adam.

Nuridah berkata, pada tahun ini pemilihan Saff Kepimpinan Dewan Muslimat Pas Pusat bagi sesi 2019/2021 akan dilaksanakan dengan prinsip demokrasi.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Dewan mengalu alukan sebarang pertandingan jawatan kerana pihak DMPP mengamalkan demokrasi.

"Bagi tujuan itu, kesemua muslimat dipohon untuk sama sama berdoa agar muktamar dapat berjalan dengan lancar dan dihadiri kesemua jemputan seperti direncanakan sebaiknya," katanya.

Pendaftaran perwakilan akan bermula 14 Jun 2019 jam 3 petang manakala acara perasmian dan sidang muktamar akan berlangsung pada 15 Jun. Muktamar dijangka bermula pada jam 8 pagi dan berakhir 9 malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!