MP Austria pakai tudung bantah larangan tudung ke sekolah
VIENNA - Seorang Ahli Parlimen pembangkang Austria memakai tudung semasa berucap pada sesi Parlimen semalam.
Martha Bissmann melakukan tindakan itu sebagai memprotes keputusan Parlimen mengundi melarang pelajar sekolah rendah memakai tudung.
Larangan itu diluluskan selepas ia dicadangkan oleh parti pemerintah pimpinan Canselor Sebastian Kurz, Parti Rakyat Austria (OVP) dan Parti Kebebasan (FPO).
Di bawah peraturan baharu itu, pelajar perempuan berusia bawah 10 tahun diharamkan memakai tudung di semua sekolah rendah termasuk sekolah swasta.
Untuk mengelak dituduh mendiskriminasi umat Islam, kenyataan larangan itu ditulis dengan merujuk kepada ‘pakaian ideologi atau agama yang berkaitan penutup kepala’.
"OVP dan FPO mempromosikan perkauman dan Islamofobia di negara ini sejak sedekad yang lalu.
"Larangan ini bertujuan menghapuskan nilai tinggi seperti toleransi dan kebebasan beragama.
"Ini adalah langkah pertama mengharamkan tudung dalam kehidupan seharian," katanya.
Jurucakap Biro Pendidikan FPO, Wendeling Moelzer berkata, undang-undang itu adalah isyarat menentang politik Islam, sementara Ahli Parlimen OVP, Rudolf Taschner pula berkata, peraturan itu untuk membebaskan kanak-kanak perempuan daripada penindasan.
Bagaimanapun kerajaan berkata, penutup kepala dipakai budak lelaki Sikh dan Yahudi tidak termasuk dalam undang-undang itu.
Pertubuhan Komuniti Islam Austria (IGGOe) sebelum ini mengecam cadangan itu sebagai memalukan dan ‘taktik pengalihan’.
Hampir keseluruhan pemimpin pembangkang menentang peraturan itu, dengan sesetengah Ahli Parlimen menuduh kerajaan menumpukan perhatian kepada ‘tajuk berita positif’ berbanding kebajikan kanak-kanak.
Kerajaan Austria bagaimanapun menjangkakan undang-undang itu akan dicabar di Mahkamah Perlembagaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!